GRS sasar menang sehingga 15 kerusi parlimen pada PRU16
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menumpukan strategi untuk mempertahankan kerusi DUN serta menyasarkan kemenangan di kerusi parlimen yang berpotensi cerah pada PRU akan datang.
Setiausaha Agung GRS, Armizan Mohd Ali, berkata strategi itu penting bagi memastikan sokongan terhadap parti itu bukan sahaja dapat dikekalkan di kawasan yang telah menunjukkan prestasi baik, malah diperluas ke kawasan lain.
“GRS secara atas kertas berpotensi memenangi antara 14 hingga 15 kerusi parlimen di Sabah.
“Bagaimanapun jumlah itu bukan sasaran akhir kerana GRS mahu memperoleh jumlah kerusi yang lebih besar bagi memperkukuh suara Sabah di peringkat Persekutuan," katanya di Kota Kinabalu hari ini.
Armizan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah merangkap pemimpin tertinggi parti itu, Hajiji Noor.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, strategi gabungan itu turut berpandukan pengajaran dan pengalaman daripada PRN terdahulu, khususnya dalam meletakkan calon yang mempunyai peluang kemenangan yang tinggi.
GRS terdiri daripada enam parti komponen iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Gabungan itu kini mempunyai tujuh kerusi parlimen iaitu Tuaran, Penampang, Papar, Sipitang, Ranau, Batu Sapi dan Tawau.
Armizan berkata gabungan itu akan mengadakan konvensyen pada 18 Okt ini di Dewan Tun Mustapha, Kudat yang dijangka dihadiri kira-kira 2,500 perwakilan daripada enam parti gabungan GRS.
Dia berkata antara fokus utama dalam konvensyen itu nanti ialah membincangkan pencapaian GRS selepas menjadi kerajaan, serta memberikan ruang kepada setiap menteri mengemukakan hala tuju kementerian masing-masing.
“Konvensyen ini terasnya serampang dua mata, bukan hanya membincangkan agenda politik malah rakyat keseluruhan,” katanya.
Mengenai mesyuarat itu, Armizan berkata, agenda mesyuarat turut melibatkan perbincangan mengenai Belanjawan Negeri 2027 manakala Hajiji akan memberikan ruang kepada setiap parti memberikan cadangan untuk dipertimbangkan sebelum dimasukkan dalam belanjawan berkenaan.
Dia menambah pandangan serta aspirasi belanjawan secara bertulis juga boleh dikemukakan kepada Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/c6d7774bfb8f9f44e6049aed133e7881.jpg)
