PARLIMEN l Kementerian Kerja Raya (KKR) memohon peruntukan secukupnya dalam Belanjawan 2027 bagi menampung keseluruhan keperluan penyelenggaraan jalan Persekutuan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan berkata KKR memerlukan peruntukan antara RM5 hingga RM6 bilion bagi memastikan kualiti dan keselamatan jalan raya berada pada tahap optimum.

Bagaimanapun, katanya bagi tahun ini KKR hanya menerima peruntukan RM3.18 bilion dengan RM2.08 daripadanya diperuntukkan bagi Semenanjung Malaysia, manakala Sabah (RM640 juta) dan Sarawak (RM461 juta).

“Oleh itu, kita memohon daripada Kementerian Kewangan dalam bajet akan datang supaya diberikan peruntukan yang secukupnya," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang bertanya mengenai data cabutan undi agihan perolehan projek penyelenggaraan jalan dan sama ada peruntukan yang diterima KKR bagi kerja-kerja penyelenggaraan itu mencukupi.

Mengulas mengenai agihan perolehan projek penyelenggaraan jalan, Ahmad berkata sebanyak RM700 juta diperuntukkan khas bagi memberi manfaat kepada kontraktor kecil kelas G1 hingga G4 menerusi kaedah cabutan undi.

Beliau berkata pendekatan secara cabutan undi itu dilaksanakan bagi memastikan proses perolehan kerja-kerja penyelenggaraan di peringkat kementerian sentiasa telus.

"Dari segi cabutan undi pula, pada 2026 peruntukan untuk G1 hingga G4 bagi manfaat kontraktor kecil jumlahnya ialah RM700 juta, iaitu RM300 juta di Semenanjung, manakala Sarawak dan Sabah masing-masing menerima RM200 juta.

"Kita laksanakan secara undian supaya telus kepada kontraktor yang terlibat," katanya.

- Bernama