Peguam Undang Yang Empat termasuk tiga yang dipertikai menegaskan keputusan menarik balik semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mandamus terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, bukan kerana berundur daripada tuntutan mereka, sebaliknya kerana mendakwa tuntutan itu sudah dipenuhi.

Dalam kenyataan media hari ini, peguam terbabit berkata, Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim telah menandatangani Proklamasi penurunan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) pada 3 Ogos lalu.

“Maka permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mandamus tersebut sudah tiada keperluan lagi dan menjadi akademik kerana tuntutan telah terpenuhi,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Asmawi Ismail, Azam Aziz dan Emirul Sarifudin Nor Azmi.

Menurut mereka, proklamasi berkenaan turut “sempurna dan diiktiraf” melalui keputusan kolektif Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 15 September lalu.

Pemakluman rasmi mengenainya juga dibuat melalui surat Menteri Besar kepada Majlis Raja-Raja pada 21 September.

“Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat juga percaya bahawa pemakluman tersebut juga dibuat selaras dengan Perkara 40(1) UUTKNS 1959 dan Perkara 38(1) dan Seksyen 2 Jadual Kelima Perlembagaan Persekutuan sebagai nasihat rasmi Kerajaan Negeri dan Menteri Besar berkenaan kedudukan Raja Pemerintah terkini bagi Negeri Sembilan kepada Majlis Raja-Raja.

“Oleh yang demikian, segala prosedur dan keperluan UUTKNS 1959 dan Perlembagaan Persekutuan telah disempurnakan,” menurut kenyataan itu.

Peguam kepada pemimpin adat berkenaan turut menjelaskan bahawa semakan kehakiman terbabit hanya berkaitan tuntutan supaya Menteri Besar menandatangani Proklamasi Perkara 10 bertarikh 19 April 2026 dan tidak melibatkan tuntutan lain.

“Maka hebahan media kononnya semakan kehakiman tersebut adalah berkaitan keesahan kedudukan mana-mana Raja Pemerintah dan/atau menyingkirkan mana-mana Raja Memerintah adalah dipetik di luar konteks dan/atau dimanipulasi untuk kepentingan pihak tertentu untuk mengelirukan masyarakat,” kata peguam terbabit.

Terdahulu, empat individu terbabit dilapor menarik balik permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi memaksa Menteri Besar menandatangani proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Norliza Othman membenarkan permohonan itu ditarik balik tanpa kebebasan untuk pemohon memfailkan semula permohonan berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan setiap pemohon membayar kos RM10,000 kepada setiap daripada empat pencelah yang dicadangkan iaitu Undang Sungei Ujong, Faris Johari dan Undang Rembau, Hassan Ab Hamid; Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan serta setiausahanya Raja Norazli Raja Nordin.

Bagaimanapun, tiada kos dikenakan terhadap Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Sembilan.

Berkenaan kos yang dikenakan oleh mahkamah, peguam empat individu itu berkata kos tersebut telah diberikan kepada bakal pencelah yang belum pun menjadi pihak kepada tindakan semakan kehakiman tersebut kerana permohonan mencelah mereka masih belum didengar oleh Mahkamah.

"Kos juga adalah sesuatu hal yang biasa dalam mana-mana tindakan apabila kes ditarik balik dan diberikan tanpa melihat kepada merit kes sebaliknya bersandarkan kepada kos yang ditanggung pihak-pihak yang hadir ke Mahkamah seperti kos guaman dan lain-lain yang berkenaan," kata mereka.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan pada 17 Julai lalu.

Pemohon ialah Mubarak Thahak (Luak Sungei Ujong), Maarof Mat Rashad (luak Jelebu), Muhammed Abdullah (Luak Johol) dan Abd Rahim Yasin (Luak Rembau).

Mereka menamakan Menteri Besar Negeri Sembilan dan kerajaan negeri sebagai responden.

Keempat-empat mereka memohon perintah mandamus bagi memaksa Menteri Besar menandatangani proklamasi berkaitan penyingkiran Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta satu lagi proklamasi mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Ismail menandatangani proklamasi itu pada 3 Ogos lalu selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan berikutan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos.