Keluarga seorang lelaki yang didakwa meninggal dunia ketika berada dalam tahanan polis Cheras memberikan pihak berkuasa tempoh 24 jam untuk menjelaskan kematian itu.

Nooranis Zulkefly, 34, adik kepada Noorizwan Zulkefly, 42, menahan sebak ketika menceritakan semula detik dia menerima berita tentang kematian abangnya.

The victim's brother Nooranis Zulkefly (right) and sister, Noorashikien Zulkefly (left)
Nooranis Zulkefly, adik mangsa

“Abang saya meninggal dunia pada jam 1.52 pagi pada 1 Okt, tetapi saya hanya mengetahui perkara itu pada jam 8 malam hari yang sama.

“Tiada sebarang berita atau makluman mengenai penangkapan abang saya. Abang saya tidak diberikan hak untuk menghubungi keluarga, dan polis tidak memaklumkan kepada kami mengenai penangkapannya.

“Sebab apa dia ditangkap, di mana dia ditangkap… tiada butiran diberikan,” kata Nooranis pada sidang media di pejabat Lawyers for Liberty di Petaling Jaya hari ini.

Menurut Nooranis, abangnya dilaporkan ditangkap pada 20 Sept dan menghabiskan masa selama 10 hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM) pada jam 9.30 malam pada 30 Sept selepas disyaki jatuh, sebelum meninggal dunia pada hari berikutnya.

Bagaimanapun, peguam N Surendran berkata keluarga itu menolak dakwaan berkenaan kerana bedah siasat pada jenazah yang dijalankan menunjukkan kesan sebaliknya.

Menurut Surendran, bedah siasat mengesahkan bahawa Noorizwan meninggal dunia akibat trauma tumpul, dengan pakar patologi turut menemukan pendarahan baharu di bawah kulit.

Gambar yang ditunjukkan semasa sidang media menampilkan kecederaan jelas pada tubuh Noorizwan.

Kecederaan itu merangkumi bengkak pada kaki dan lutut, luka di bahagian belakang badan serta pergelangan tangan, tulang rusuk patah dan kecederaan teruk pada kepala.

“Pakar patologi memberitahu kami bahawa selain daripada pukulan tersebut, tiada penyakit lain yang boleh menyebabkan kematiannya.

“Dia seorang lelaki yang sihat,” tambah Surendran.

Peguam itu berkata keluargatersebut tidak mempunyai maklumat bagaimana Noorizwan mengalami kecederaan berkenaan dan mendesak siasatan segera dijalankan berhubung keadaan di sebalik kematiannya.

Dia mendesak agar kes itu diklasifikasikan semula dengan segera sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kami mahu satu pasukan ditubuhkan oleh Bukit Aman untuk menjalankan siasatan ini secara telus, bebas dan tanpa melindungi sesiapa.

“Bukan IPD Cheras yang sepatutnya menyiasat tindakan yang dilakukan oleh IPD Cheras sendiri. Kami tidak mahu itu. Bukit Aman mesti mengambil alih,” katanya.

Surendran turut mendesak agar Ketua Polis Negara (IGP), Menteri Dalam Negeri dan seluruh kabinet dipertanggungjawabkan atas kejadian itu.

Dia menggesa penjelasan awam diberikan tentang bagaimana kejadian seumpama itu boleh berlaku ketika mangsa berada dalam tahanan polis.

“Kami mahu menteri-menteri duduk bersemuka. Mereka sepatutnya malu dan bertanya kepada diri sendiri bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku di bawah pentadbiran mereka.

“Itu tuntutan kami. Terima tanggungjawab atas apa yang berlaku kepada Noorizwan dan keluarganya.”

Surendran berkata keluarga mangsa juga bukan sekadar mahukan jaminan bahawa kes itu akan disiasat, tetapi mendesak jawapan konkrit dan akuntabiliti daripada pihak polis dan kerajaan.

Ini termasuk jaminan keselamatan banduan di lokap polis di seluruh negara serta semakan komprehensif terhadap prosedur sedia ada yang menyebabkan kematian dalam tahanan.

“Kami tidak mahu kenyataan lazim bahawa ‘kes akan disiasat’ diulang lagi dan lagi. Kami mahu kerajaan berikrar bahawa semakan sistemik dan komprehensif akan dilakukan terhadap protokol polis di seluruh negara,” katanya.

Keluarga mangsa membuat dua laporan polis di IPD Cheras berhubung perkara tersebut.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak polis daerah Cheras untuk mendapatkan ulasan mereka.