Langkah Anwar bentang permaidani merah buat ketua junta Myanmar dipertikai
Bekas anggota parlimen Charles Santiago membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana membentangkan "permaidani merah" buat Min Aung Hlaing, bekas komander junta Myanmar yang mendakwa dirinya sebagai presiden Myanmar tetapi tidak diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menerusi hantaran di media sosial, Charles mengingatkan Anwar mengenai kenyataan yang pernah disampaikannya kepada PBB tiga tahun lalu, apabila dia menyatakan rasa terkejut dan jijik dengan kekejaman junta Myanmar terhadap rakyatnya sendiri.
“Pada tahun 2026, dia membentangkan permaidani merah untuk jeneral yang mendalangi pembunuhan beramai-ramai di negeri Rakhine serta berdepan pertuduhan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).”
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/11/87d6a6ef46df3875fd17a8741c37312a.jpg)
Charles turut menegaskan bahawa Asean dan rakyat Myanmar tidak menerima Min Aung Hlaing sebagai presiden berikutan pilihan raya yang dicemari penipuan yang diadakan pada bulan April.
“Malaysia membelakangi pendirian bersama dengan menyambutnya sebagai presiden. Ini akan mengkebumikan Konsensus Lima Perkara (5PC) Asean buat selamanya. Tahniah. Perkara ini akan dikenang. Dan ya, RIP Asean,” tambahnya.
5PC merujuk kepada Konsensus Lima Perkara, iaitu pelan perdamaian yang dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin Asean pada April 2021 bagi menangani krisis di Myanmar susulan rampasan kuasa oleh pihak tentera.
Semasa berucap pada Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2023, Anwar menggesa Myanmar supaya melaksanakan konsensus lima perkara itu dengan serta-merta.
"Kekejaman yang berterusan ini mesti dihentikan. Kami amat terkejut dan jijik dengan situasi semasa, yang merupakan antara cabaran strategik dan kemanusiaan terbesar di Asia Tenggara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Kekejaman dan kejahatan ke atas rakyat Myanmar adalah sesuatu yang tidak boleh dipertahankan, serta bertentangan dengan nilai dan prinsip yang dipegang bersama oleh masyarakat di rantau ini dan seluruh dunia," katanya.
/file/attachments/orphans/adasasdasd_389088.png)
Anwar turut menekankan keperluan untuk masyarakat antarabangsa dan PBB mengekalkan tekanan ke atas pihak berkuasa tentera, di samping menggesa mereka terus mendesak agar kekejaman itu dihentikan.
Sementara itu, Human Rights Watch (HRW) mendesak Anwar agar mendesak Min untuk menghentikan pencabulan hak asasi manusia sepanjang lawatannya ke Kuala Lumpur.
HRW turut menggesa Putrajaya membekukan rancangan untuk menghantar pulang etnik Rohingya dan pelarian lain dari Myanmar secara paksa yang berdepan penindasan serta pencabulan hak asasi yang lain.
“Jemputan Anwar kepada Min bagi menyelaras penghantaran pulang individu yang melarikan diri daripada kekejaman tentera di Myanmar secara paksa merupakan satu jemputan kepada penindasan seterusnya,” kata Pengarah HRW Asia, Elaine Pearson.
Min tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan rasmi selama dua hari, dengan isu penghantaran pulang warga Myanmar menjadi antara perkara utama yang akan dibincangkan bersama.
/file/attachments/orphans/homeministry1asdeesd2_674391.png)
Sebaik tiba, dia diberikan kawalan kehormat statik yang disempurnakan oleh dua pegawai dan 26 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Esok, Min akan diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya sebelum mengadakan mesyuarat dua hala bersama Anwar, diiringi majlis makan tengah hari rasmi yang dianjurkan oleh perdana menteri.
Jabatan Perhimpunan Agung dan Pengurusan Persidangan PBB (DGACM) enggan mengiktiraf Min dalam senarai diplomatik terbaharu mereka.
PBB terus mengiktiraf Kyaw Moe Tun sebagai wakil tetap Myanmar ke PBB, yang dilantik sebelum rampasan kuasa tentera pada tahun 2021.
Anwar, bagaimanapun, mempertahankan tindakan berusan dengan Myanmar sebagai langkah perlu bagi menyelesaikan isu pelarian yang berlarutan. Hujahnya, Malaysia tidak boleh menempatkan pelarian di negara ini selama-lamanya.
Dalam satu podkas yang disiarkan pada 16 September, dia berkata Malaysia, senada dengan Asean, belum bersedia untuk mengiktiraf kerajaan baharu Myanmar tetapi memerlukan pihak berkuasa yang boleh dirunding bagi proses penghantaran pulang pelarian.
Dia mengaitkan jemputan kepada Min dengan kesediaan Myanmar untuk menerima semula pelarian Rohingya, sekali gus menampilkan hubungan diplomatik ini sebagai jalan untuk mendapatkan kerjasama mereka.
/file/attachments/orphans/homeministry1asdesd_153225.png)
Di Dewan Rakyat semalam, Anwar turut mengekalkan pendirian bahawa Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik untuk mencari penyelesaian jangka panjang sambil melindungi kebajikan dan hak asasi pelarian.
Dia berkata jemputan tersebut membolehkan rundingan lanjut dijalankan mengenai syarat-syarat yang membolehkan isu ini diselesaikan.
Wisma Putra semalam memaklumkan bahawa lawatan tersebut adalah selaras dengan keputusan Sidang Kemuncak Asean ke-48 pada bulan Mei untuk meneruskan hubungan secara konstruktif dan berprinsip dengan Myanmar berdasarkan Konsensus 5P.
/file/attachments/orphans/adqweadsadasd_587584.png)
