'Dialog bukan pengiktirafan' - Kamil pertahan kunjungan ketua junta Myanmar
Setiausaha politik Anwar Ibrahim, Kamil Abdul Munim, mempertahankan langkah Putrajaya mengadakan pertemuan dengan ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing, sambil menegaskan bahawa perbincangan tersebut tidak seharusnya disalah tafsir sebagai pengiktirafan atau sokongan terhadap rejim berkenaan.
Kamil, yang juga Ketua Pemuda PKR (AMK), mengulas kritikan bekas ahli parlimen Klang, Charles Santiago, yang berkata Malaysia membentangkan permaidani merah kepada Min Aung Hlaing semasa lawatan dua harinya, walaupun terdapat kekejaman yang dilakukan oleh pihak junta yang diterajuinya.
Kamil berkata kritikan terhadap hubungan Malaysia dengan kepimpinan Myanmar itu adalah wajar, memandangkan kekejaman terhadap rakyat Myanmar tidak boleh disembunyikan atau dipandang remeh.
Walau bagaimanapun, dia menegaskan bahawa rundingan dan dialog kekal sebagai sebahagian daripada diplomasi, dan hubungan Malaysia dengan Myanmar tidak terhad kepada pihak junta sahaja.
Baru tahun lalu, sebagai sebahagian daripada peranan Malaysia memegang jawatan pengerusi Asean, Anwar turut bertemu dengan wakil Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar – iaitu kerajaan dalam buangan Myanmar yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Pendekatannya jelas: bercakap dengan pihak-pihak yang berkepentingan untuk mencari jalan keluar kepada krisis.
"Justeru istilah 'bentang permaidani merah' mungkin sedap sebagai tajuk politik, tetapi ia tidak menjelaskan kerumitan diplomasi.
"Soalan yang lebih penting ialah: apakah yang Malaysia tuntut di meja rundingan?" katanya.
Tambah Kamil, Malaysia secara sejarahnya sentiasa mengekalkan dialog walaupun dengan pihak yang sangat bertentangan pendirian dengannya.
Dia merujuk kepada Rundingan Baling 1955 antara Tunku Abdul Rahman dan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
"Apakah itu bermakna Tunku mengiktiraf perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya? Tentunya tidak. Tunku berunding kerana sebagai pemimpin, beliau mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk mencari jalan menghentikan keganasan dan menyelamatkan nyawa,” katanya.
Kamil turut merujuk kepada lawatan Abdul Razak Hussein, ke Beijing pada tahun 1974, ketika perdana menteri itu bertemu dengan Mao Zedong dan Zhou Enlai sebelum Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik dengan China.
"Adakah Tun Razak menjadi komunis kerana berjabat tangan dengan Mao?” soalnya, sambil menambah bahawa Malaysia kemudia menjadi pemudah cara dalam rundingan damai antara kerajaan Filipina dengan Moro Islamic Liberation Front, serta dalam proses damai di selatan Thailand.
Begitu juga, Kamil berkata tindakan Malaysia menerima kunjungan presiden AS dengan penghormatan diplomatik sepenuhnya tidak bermakna Putrajaya menyokong dasar Washington berhubung perang di Iraq dan Afghanistan atau sokongannya terhadap Israel dalam konflik Gaza.
Kamil berkata persoalan yang lebih penting ialah apa yang ingin dicapai oleh Malaysia melalui rundingan tersebut.
Antaranya, kata Kamil, termasuklah penamatan keganasan, pelaksanaan Konsensus Lima Perkara Asean, akses kepada bantuan kemanusiaan, dan dialog politik yang inklusif.
Dia menambah bahawa dalam konteks perbincangan dua hala semasa, Malaysia juga berusaha memastikan sebarang penghantaran pulang warga Myanmar dilakukan secara sukarela, selamat, dan bermaruah.
"Kita boleh mengecam kekejaman dan pada masa yang sama bercakap dengan mereka yang mempunyai kuasa untuk menghentikannya.
"Kedua-duanya tidak bercanggah. Diplomasi adalah keberanian untuk bercakap dengan pihak yang kita tidak setujui apabila keamanan, keselamatan rantau dan nyawa manusia menjadi pertaruhannya,” katanya.
Sebelum ini, Charles menuduh Anwar menjejaskan pendirian Asean berhubung isu Myanmar dengan memberikan sambutan rasmi kepada Min Aung Hlaing semasa lawatannya ke Malaysia.
Dia berhujah bahawa tindakan menyambut ketua junta itu sebagai presiden berisiko memberi legitimasi kepada kerajaan yang tidak diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan boleh melemahkan lagi Konsensus Lima Perkara Asean.
Anwar mempertahankan langkah penglibatan Malaysia dengan Myanmar sebagai satu keperluan bagi menangani isu pelarian, sambil menegaskan bahawa Malaysia dan Asean belum bersedia untuk mengiktiraf kerajaan pimpinan tentera itu.
Min Aung Hlaing tiba di Malaysia hari ini, dengan penghantaran pulang warga Myanmar menjadi antara isu utama yang dijangka dibincangkan dalam pertemuan dengan Anwar.
/file/attachments/orphans/adasasdasd_389088.png)
