Belanjawan Bayangan 2027 Bersama berpendapat Malaysia tidak lagi boleh meneruskan pendekatan “seperti biasa” dalam dasar fiskal berikutan ketidaktentuan global dan tekanan ekonomi dalam negara.

Belanjawan itu, yang dibentangkan oleh pengerusi bersama parti, Rafizi Ramli, malam tadi, mencadangkan Malaysia membina daya tahan dengan memperkukuh kapasiti domestik, mempelbagaikan sumber pertumbuhan dan mengambil “jalan sukar” dalam melaksanakan pembaharuan struktur.

Rafizi (bawah) berkata belanjawan tahunan selama ini ibarat “alat pemadam api”, apabila masalah hanya ditangani selepas berlaku, menyebabkan kos fiskal lebih tinggi dan pilihan dasar semakin terhad.

Sebaliknya, Bersama mahu pendekatan jangka panjang bagi mengelakkan tindakan pada saat akhir dan dasar yang sekadar bertujuan mengurangkan kesan masalah.

Antara cadangan utama belanjawan bayangan itu ialah menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar lima peratus. Ia turut mencadangkan pemansuhan subsidi bahan api Budi95, Bantuan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara). Penjimatan itu akan digunakan untuk membiayai elaun kos sara hidup, elaun bahan api, elaun kanak-kanak dan pencen sosial.

Belanjawan itu turut mencadangkan supaya kerajaan diwajibkan membayar balik sekurang-kurangnya dua peratus hutang yang matang setiap tahun, dan bukannya membiayai semula hutang berkenaan. Bersama mengunjurkan hutang awam akan turun kepada 54.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2031, berbanding 61 peratus jika dasar semasa diteruskan.

Rafizi berkata belanjawan bayangan itu adalah sebahagian daripada usaha Bersama mengalihkan tumpuan perbincangan awam daripada politik kepada masalah asas negara yang menurut bekas menteri ekonomi itu “tidak menarik, rumit dan tidak mampu memenangi undi”.

Menjelang pembentangan Belanjawan Persekutuan pentadbiran Madani oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim esok, Malaysiakini meneliti masalah yang dikenal pasti Bersama dalam Belanjawan Bayangan 2027 serta cadangan parti itu untuk menanganinya.

Diagnosis

Belanjawan bayangan itu menyebut angka ekonomi utama tidak menggambarkan sepenuhnya keadaan kewangan isi rumah. Walaupun KDNK berkembang 5.4 peratus tahun ini, pendapatan negara kasar (PNK) hanya meningkat kira-kira dua peratus pada suku kedua.

Gaji median pada Mac ialah RM3,027, meningkat hanya RM27 atau 0.9 peratus dalam tempoh setahun. Gaji median pemegang ijazah pada 2025 juga masih lebih rendah berbanding sebelum pandemik.

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dipetik dalam dokumen itu, separuh daripada isi rumah membelanjakan hampir 80 peratus pendapatan boleh guna mereka. Bagi isi rumah B40 pula, kira-kira RM81 sahaja yang tinggal setiap bulan selepas 97.5 peratus pendapatan dibelanjakan.

Hanya 4.2 peratus warga emas menerima bantuan warga emas. Pada masa sama, jumlah pegawai perubatan tetap yang meletak jawatan meningkat lebih dua kali ganda daripada 238 pada 2021 kepada 498 pada 2025.

Skor Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa) 2025 adalah yang terendah pernah direkodkan, manakala ketua audit negara mengenal pasti 1,505 sekolah daif yang masih menunggu pembaikan.

Bersama menganggarkan kerajaan akan mencapai sasaran defisit 3.5 peratus tahun ini, dengan hutang pada paras 64.9 peratus daripada KDNK.

Namun, ia melibatkan kos yang tinggi. Perbelanjaan subsidi Budi95 dijangka meningkat RM27.9 bilion susulan kenaikan harga minyak. Kenaikan dividen Petronas dan pengurangan perbelanjaan RM10 bilion yang diumumkan awal tahun ini dijangka mengurangkan sebahagian daripada kos itu.

Bayaran khidmat hutang menggunakan 16 peratus daripada hasil Persekutuan tahun lalu, melebihi sasaran 15 peratus yang ditetapkan kerajaan. Ia juga menggunakan kira-kira 13 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan. Tahun ini, bayaran itu dijangka meningkat kepada RM58.4 bilion daripada RM54.3 bilion.

Rafizi berkata jika trend semasa berterusan, bayaran khidmat hutang boleh mencecah RM70 bilion menjelang 2030.

“Ringkasnya, bagi setiap RM1 yang dikutip kerajaan, kira-kira 16 sen sudah diperuntukkan untuk membayar khidmat hutang terdahulu sebelum wang itu boleh digunakan untuk kesihatan, pendidikan, infrastruktur atau perlindungan sosial.

“Defisit yang semakin kecil tidak semestinya bermakna ruang fiskal semakin luas kerana hutang sedia ada terus mengambil bahagian yang semakin besar daripada hasil kerajaan.

"Matlamat pengukuhan fiskal sepatutnya ialah menyediakan lebih banyak ruang untuk perbelanjaan produktif, bukan sekadar mengurangkan angka defisit di atas kertas,” menurut dokumen itu.

Penyelesaian

  • Hasil

Bersama mencadangkan kadar GST lima peratus dikekalkan selama 10 tahun, dengan kredit cukai input dipulangkan dalam tempoh 30 hari. Menurut parti itu, asas SST yang lebih kecil dan ketiadaan kredit cukai input menyebabkan cukai dikenakan secara berlapis serta berlaku ketirisan.

Bersama menganggarkan GST akan menjana RM76.1 bilion atau 3.3 peratus daripada KDNK, berbanding RM59.4 bilion melalui SST. Ini memberikan tambahan hasil bersih RM16.7 bilion.

Lima peratus daripada kutipan GST, atau kira-kira RM3.8 bilion pada 2027, akan disalurkan kepada kerajaan negeri di bawah cadangan itu.

Dalam satu forum semalam, pengerusi bersama Bersama Nik Nazmi Nik Ahmad berkata antara masalah utama yang dihadapinya ketika menjadi menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar ialah pembalakan secara meluas di kawasan di bawah kerajaan negeri.

“(Pentadbiran negeri) tertekan - mereka akan mencari apa sahaja bentuk hasil. Apabila negeri tidak mempunyai komponen komersial atau perindustrian yang besar… perkara paling mudah ialah menebang hutan, mengeluarkan kayu balak dan menanam kelapa sawit.

“Jika kita boleh mengatakan bahawa di bawah sistem GST kita, kerajaan negeri boleh memperoleh sedikit (hasil), maka itu adalah satu cara untuk membina kontrak politik dan sosial,” kata Nik Nazmi (bawah), bekas Ahli Parlimen Setiawangsa.

Bersama turut mencadangkan cukai 0.5 peratus ke atas pembayaran elektronik runcit. Cadangan itu akan dikaji dari 2027 hingga 2029 dan tiada cukai akan dikutip dalam tempoh tersebut. Cukai hanya akan diperkenalkan mulai 2030 jika didapati sesuai dilaksanakan.

  • Menggantikan subsidi dengan bantuan tunai

- Elaun kos sara hidup: RM200 sebulan untuk setiap isi rumah B60, dengan kos kira-kira RM12 bilion setahun.

- Elaun bahan api: Diberikan kepada 80 peratus isi rumah. Kadarnya ialah 90 peratus daripada perbezaan harga tanpa subsidi bagi isi rumah B40 dan 65 peratus bagi M40. Jumlah elaun akan berkurangan apabila harga bahan api turun.

- Elaun kanak-kanak: RM50 sebulan bagi setiap warganegara berusia bawah 18 tahun, dengan had RM250 bagi setiap isi rumah. Kosnya dianggarkan RM5.3 bilion.

-Pencen sosial: RM600 sebulan untuk warga emas tanpa pendapatan persaraan. Jumlah itu akan dikurangkan secara berperingkat bagi mereka yang menerima pencen atau pendapatan KWSP di bawah RM1,600. Skim itu dijangka memanfaatkan 3.1 juta orang dengan kos RM18.1 bilion setahun menjelang 2028.

Kelayakan untuk menerima elaun itu akan berdasarkan pendapatan boleh guna bersih isi rumah, bukannya definisi dan kategori pendapatan yang digunakan kerajaan sekarang.

Pengiraan itu akan mengambil kira cukai dan potongan berkanun, selain perbelanjaan asas yang “munasabah”, saiz keluarga, demografi dan kos sara hidup mengikut lokasi.

Belanjawan bayangan itu turut mencadangkan supaya 189 program bantuan kerajaan di bawah 26 kementerian dan agensi digabungkan di bawah sebuah Kementerian Keselamatan Sosial yang baharu.

- Memastikan pembayaran balik hutang

Bersama mencadangkan pindaan terhadap Akta Pinjaman (Tempatan) 1959, Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

Pindaan itu akan mewajibkan kerajaan membayar balik sekurang-kurangnya dua peratus hutang yang matang setiap tahun, bukannya membiayai semula hutang tersebut. Wang berkenaan akan disimpan dalam dana amanah khas supaya tidak digunakan untuk perbelanjaan lain.

Belanjawan bayangan itu turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Kewangan Awam bebas. Suruhanjaya itu akan menilai andaian belanjawan serta kos jangka panjang projek perkongsian awam-swasta, konsesi dan jaminan kerajaan sebelum diluluskan. Ia juga berpotensi menilai kos janji pilihan raya parti politik.

Jika pengecualian diberikan ketika krisis, perkara itu perlu didedahkan kepada Parlimen bersama tempoh untuk kerajaan kembali mematuhi ketetapan tersebut. Bersama menganggarkan langkah itu dapat menjimatkan kira-kira RM7 bilion dalam kos khidmat hutang.

- Gaji, pekerja dan penuaan

Bersama mencadangkan levi pekerja asing sebanyak RM500, RM1,500 atau RM3,000 setahun bagi setiap pekerja, bergantung kepada kategori.

Kuota pekerja asing juga akan dikaitkan dengan jumlah pekerja tempatan yang diambil oleh syarikat serta gaji yang dibayar kepada mereka. Tempoh permit kerja pula dicadangkan dikurangkan kepada tiga tahun.

Parti itu turut mencadangkan gaji minimum mengikut negeri, dengan kadar nasional RM1,800, serta skim insurans penjagaan jangka panjang.

Skim itu akan dibiayai melalui caruman satu peratus daripada gaji bermula pada usia 40 tahun, yang dibahagikan sama rata antara majikan dan pekerja. Ia akan menanggung 90 peratus kos penjagaan sehingga had bulanan tertentu.

Dari mana wang diperoleh dan siapa yang mendapat manfaat

Bersama mengenal pasti ruang fiskal baharu berjumlah RM80.7 bilion, iaitu:

-RM34.2 bilion daripada pemansuhan Budi95;

-RM15 bilion daripada STR dan Sara;

-RM16.7 bilion daripada penggantian SST dengan GST; dan

-RM14.8 bilion daripada cukai lain dan dividen syarikat berkaitan kerajaan (GLC), selepas mengambil kira pengurangan RM10 bilion dalam dividen Petronas.

Daripada jumlah itu, RM55 bilion akan digunakan untuk program baru. Bakinya pula akan digunakan untuk perbelanjaan pembangunan, faedah, kos inflasi, perkongsian hasil GST dengan kerajaan negeri dan RM4.5 bilion untuk mengurangkan defisit.

Hasil kerajaan dijangka meningkat kepada RM392 bilion pada 2027 daripada RM360 bilion.

Rafizi berkata isi rumah B40 akan kehilangan kira-kira RM215 sebulan akibat perubahan subsidi tetapi menerima kira-kira RM582 dalam bentuk elaun. Ini memberikan keuntungan bersih RM367 sebulan.

Bersama menganggarkan isi rumah median akan mendapat keuntungan bersih RM557 sebulan, manakala isi rumah M40 mendapat RM539.

Jumlah itu bersamaan 11.2 peratus pendapatan boleh guna bagi isi rumah B40 termasuk pencen, atau 5.1 peratus tanpa pencen. Bagi isi rumah median, ia bersamaan 9.2 peratus dan 7.4 peratus bagi isi rumah M40.

Rafizi berkata pertukaran yang perlu diterima ialah mereka yang menggunakan lebih banyak akan membayar lebih.

Semua unjuran itu dibuat oleh Bersama berdasarkan beberapa andaian, termasuk harga minyak mentah Brent pada AS$90 setong dan pertumbuhan KDNK sebenar antara 4.0 hingga 4.5 peratus pada 2027.

Berdasarkan andaian itu dan langkah yang dicadangkan, defisit 2027 dijangka turun kepada tiga peratus daripada KDNK atau RM70.3 bilion. Hutang pula dijangka turun kepada 63.6 peratus.

Menjelang 2031, defisit dijangka turun kepada 1.8 peratus. Bersama mengunjurkan pakej itu akan meletakkan belanjawan Persekutuan di landasan untuk mencatat lebihan pertama sejak 1997 pada 2035.

Pertaruhan politik

Dokumen Bersama turut menolak apa yang disifatkannya sebagai “mitos” bahawa pembaharuan tidak boleh dilaksanakan.

Menurutnya, sebahagian besar kritikan terhadap pentadbiran Anwar berpunca daripada persepsi bahawa kerajaan keberatan melaksanakan pembaharuan struktur yang “sukar dan membawa kos politik”.

Bersama mengakui pembaharuan struktur sememangnya akan menimbulkan ketidakselesaan apabila isi rumah, perniagaan dan kerajaan mengubah amalan yang sudah lama dilakukan.

Namun, parti itu berkata “kesilapan politik” adalah apabila menganggap rakyat Malaysia akan menolak reformasi semata-mata kerana kos.

“Rakyat Malaysia mampu menerima perubahan yang sukar apabila tujuannya jelas, bebannya dikongsi secara adil dan — yang paling penting — mereka dapat melihat apa yang diperoleh sebagai balasan.

"Sebab itulah reformasi fiskal tidak boleh sekadar bermaksud mengutip lebih banyak hasil untuk kerajaan

“Cukai yang lebih tinggi tanpa peningkatan nyata dalam pendapatan isi rumah, gaji dan jaminan ekonomi akan dianggap, secara munasabah, sebagai meminta rakyat biasa membayar lebih untuk hasil yang pada asasnya masih sama," tegasnya.

Bersama berkata risiko politik yang lebih besar bukan terletak pada reformasi, tetapi pada mengekalkan keadaan sedia ada.

Menurutnya, jika setiap keputusan sukar dielakkan kerana takut kehilangan undi, Malaysia sekadar menangguhkan penyesuaian sambil membiarkan kos ekonomi akhirnya menjadi semakin besar.

Justeru satu pakej reformasi yang cukup berani dan menyeluruh boleh menjadi suatu kesepakatan baharu antara negara dengan rakyat pelbagai generasi, katanya.

Menerusi pendekatan itu, rakyat menyumbang secara lebih cekap dan adil apabila diperlukan, sementara negara menjamin keselamatan ekonomi yang lebih kukuh, institusi yang lebih berwibawa serta peluang yang saksama ke arah pendapatan yang lebih tinggi