Sebanyak 38 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 9 pagi ini.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan Segamat, Johor mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 187, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (183).

IPU tidak sihat turut dicatatkan di beberapa kawasan di Selangor melibatkan Johan Setia (178), Shah Alam (170), Banting (167), Klang (166), Petaling Jaya (165) dan Kuala Selangor (155); Cheras (172) dan Batu Muda di ibu negara dengan bacaan 168; dan Putrajaya dengan bacaan 173.

Empat kawasan di Pahang membabitkan Rompin, Indera Mahkota, Balok Baru Kuantan dan Temerloh turut mencatatkan IPU tidak sihat dengan bacaan masing-masing 174, 165 dan 153.

Di Negeri Sembilan, kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah Seremban (182) dan Port Dickson (168) manakala di Melaka melibatkan kawasan Bukit Rambai (172), Bandaraya Melaka (171) dan Alor Gajah (167).

Sementara itu, di Johor kawasan terlibat ialah Pasir Gudang (180), Kluang (179), Larkin (178), Tangkak (172), Pengerang (165), Kota Tinggi (164) dan Batu Pahat (161) manakala di Perak melibatkan Seri Manjung (160), Tasek Ipoh (159), Taiping (154), Pegoh Ipoh (153) dan Tanjung Malim (152).

Selain itu, dua kawasan di Terengganu iaitu Kemaman (155) dan Paka (146) serta tiga kawasan di Pulau Pinang melibatkan Seberang Perai (156), Minden (155) dan Seberang Jaya (153); dan Sungai Petani, Kedah (153) turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.

Sebanyak 30 kawasan pula mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana manakala tiada kawasan merekodkan IPU pada tahap baik.

Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.

- Bernama