Ketua Umno Bahagian Sepang, Noorazli Said mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat kenyataan sensitif berkaitan agama Kristian sewaktu Perhimpunan Agung Umno bulan lalu.

Pemimpin Umno berkenaan didakwa mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan penganut Katolik ketika berucap pada perhimpunan tahunan parti itu.

Mengikut kertas pertuduhan, Noorazli dituduh di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana didakwa bertindak dengan niat sengaja mahu melukai perasaan keagamaan seseorang.

Dia didakwa dengan sengaja berniat untuk melukakan perasaan Xenia Lok Zou Chieh, 49, apabila melafazkan perkataan yang mengaitkan paderi Katolik dan biarawati di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Jalan Tun Ismail di Kuala Lumpur pada 11.20 pagi, 12 September 2026.

Ketua Umno Sepang, Noorazli Said

Noorazli didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai setahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesalahan tersebut membawa hukuman penjara sehingga satu tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Noorazli membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguamHasnal Rezua Merican yang mewakili Noorazli memohon supaya jaminan dikurangkan sekitar RM4,000 hingga RM5,000.

Mahkamah kemudian membenarkan Noorazli diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 18 November ini.