Dari jauh, kawasan itu kelihatan seperti premis besi buruk atau penempatan setinggan warga asing.

Namun, apabila menghampiri deretan kontena bersebelahan sebuah sekolah memandu di Segambut, barulah jelas bahawa tiga keluarga warga Malaysia sedang menumpang hidup di situ sejak hampir tiga bulan lalu.

Kawasan itu terletak di Kampung Segambut Bahagia.

Di situ terdapat tiga kontena berukuran 18 kaki, sebuah ruang dapur terbuka serta satu tandas dan bilik mandi yang dikongsi bersama.

Itulah keadaan hidup tiga keluarga yang kehilangan rumah selepas tanah mereka dibeli pihak swasta.

Mereka kini menunggu rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang menurut mereka dijanjikan sejak tahun lalu oleh pejabat Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Bagi R Saraswathi Devi, 55, salah satu kontena sempit itu kini menjadi rumah buatnya bersama suami dan dua anak perempuan berusia 12 dan 14 tahun.

Saraswathi berkata, dia menetap di Kampung Segambut Dalam selama kira-kira 30 tahun sebelum tanah berkenaan dibeli pihak swasta.

Menurutnya, pembeli tanah menawarkan RM3,000 kepada setiap satu daripada 13 keluarga yang tinggal di kampung itu.

Sepuluh keluarga menerima wang tersebut dan berpindah, katanya.

"Kami memilih untuk tidak mengambil wang tersebut kerana berasa tidak mampu untuk mencari rumah sewa dengan RM3,000.

"Kami terus ke pejabat ahli parlimen untuk meminta bantuan. Ini selepas pemilik tanah memberitahu kami bahawa hanya pejabat ahli parlimen yang boleh membantu kami untuk mendapatkan rumah PPR," katanya kepada Malaysiakini.

Selain keluarga Saraswathi, dua lagi keluarga turut terjejas, termasuk ibu mentuanya yang berusia 77 tahun serta G Muruga Raja, 58, bersama isterinya.

Ketiga-tiga keluarga itu kini bergantung pada janji yang mereka terima daripada pejabat Ahli Parlimen Segambut.

Saraswathi berkata, mereka mula mendatangi pejabat berkenaan pada Julai tahun lalu untuk membuat permohonan rumah PPR.

"Pejabat itu berjanji untuk mendapatkan rumah PPR. Namun, setiap kali kami bertanya, jawapan yang diterima hampir sama.

"Pegawai di pejabat itu memaklumkan permohonan kami masih dalam proses di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kami telefon, mereka kata dalam proses. Kami telefon lagi, jawapannya sama. Kami hantar dokumen, kami hantar video keadaan rumah lama, tapi tiada tindakan," katanya.

Dalam tempoh itu, mereka berkata pernah menerima bantuan wang tunai sebanyak RM1,500 sekali daripada pejabat wakil rakyat berkenaan.

Namun, menurut mereka, jumlah itu jauh daripada mencukupi untuk menyewa rumah di ibu negara.

Behind an 18-foot container in Segambut, three families wait for promised PPR homes that never arrive 081026

Pada Julai tahun ini, pembeli tanah merobohkan rumah mereka.

Sebagai ganti, pembeli tanah menyediakan kontena untuk ketiga-tiga keluarga berkenaan berteduh.

Saraswathi berkata, ketika mereka bertemu pihak DBKL baru-baru ini, mereka diberitahu bahawa fail permohonan belum dibuka dan hanya diberikan satu "notis kuning".

Saraswathi mengaku tidak memahami maksud notis berkenaan.

Semakan Malaysiakini mendapati surat rasmi bertarikh 10 September 2026 yang dirujuk kepada suami Saraswathi mengesahkan bahawa pendaftaran permohonan menyewa PPR telah dibuat dan mereka memenuhi syarat kelayakan.

Behind an 18-foot container in Segambut, three families wait for promised PPR homes that never arrive 081026

aaaaaaaaaaaaaSaraswathi berkata kehidupan di dalam kontena itu bukan sekadar sempit, malah mereka turut dibebani masalah kewangan dan kesihatan.

"Setiap keluarga memikul bebannya sendiri.

"Saya dinasihatkan doktor supaya tidak bekerja kerana masalah kesihatan, manakala suami saya tidak mampu mengangkat barang berat dan hanya mengambil kerja buruh sambilan apabila ada yang memanggil," katanya.

Sementara itu, di kontena bersebelahan, ibu mentua Saraswathi tinggal bersama seorang lagi anak perempuan Saraswathi dan menantunya.

Menurut Saraswathi, menantu lelakinya ialah pesakit buah pinggang dan tidak dapat bekerja.

Berkongsi pengalamannya tinggal di kontena itu, Muruga Raja, seorang tukang cat kereta, berkata mereka sudah berkali-kali ke pejabat wakil rakyat berkenaan, namun sering pulang dengan tangan kosong.

"Saya pergi ke pejabat itu, ada kalanya tiada sesiapa di sana. Mereka suruh saya jangan risau, kemudian suruh pulang," katanya.

Kerisauan terbesar Muruga ialah keadaan isterinya.

"Saya beritahu mereka, isteri saya tidak boleh tinggal di sini. Saya minta mereka tolong saya. Tapi, tidak dapat.

"Malah, kami pernah minta pegawai di sana untuk berjumpa dengan menteri. Tapi, kami diminta pergi ke Putrajaya," katanya.

Ketika dihubungi, Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan Rajah Symon berkata Hannah perlu berhenti menunggu laporan pegawai dan turun padang sendiri.

Rajah, yang juga bekas anggota Lembaga Penasihat DBKL, berkata Hannah selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan perlu memastikan nasib keluarga berkenaan mendapat perhatian sewajarnya.

"Menteri mesti turun padang, melawat keluarga-keluarga ini dan lihat sendiri keadaan mereka di dalam kontena itu.

"Sebagai menteri, tiada alasan untuk beliau tidak dapat menyediakan rumah PPR untuk mereka.

"Walaupun mereka dikatakan tidak layak, menteri masih ada kuasa untuk mendapatkan rumah PPR bagi mereka. Apatah lagi beliau juga ahli parlimen Segambut, dan mereka ini penduduk di kawasannya sendiri," katanya.

Beberapa percubaan menghubungi pejabat menteri dan e-mel kepada DBKL sejak Isnin juga tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga berita ini ditulis.