Sebanyak 12 pegawai dan anggota polis dihadapkan semula ke dua Mahkamah Majistret di Sungai Petani hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan dua tahun lepas.

Bagaimanapun, kesemua mereka yang berusia antara 29 hingga 57 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman dan Majistret Noor Fazlina Musa.

Di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani, lima tertuduh memohon dibicarakan iaitu Mohd Khairi Zakaria, 57, S. Sarvindran, 30, G. Selva Kumar, 38, Muhammad Shabri Salamat, 32, dan Muhammad Hazri Ramlee, 42.

Sementara itu, di hadapan Majistret Noor Fazlina, tujuh tertuduh turut memohon dibicarakan iaitu Wan Muneer Abdullah, 38, Muhammad Azri Zakariya, 37, Mohammad Muizzuddin Mohmad Taib, 31, Khairol Nizam Mohamad, 36, Mohd Fazly Long, 47, Syamsul Ismail, 29, dan Mohd Arami Aluwi, 36.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang terdiri daripada seorang inspektor dan selebihnya sarjan, koperal dan lans koperal, didakwa tanpa kebenaran telah memasukkan dadah jenis ketamine dan 3,4-metilendioksimetamfetamina (MDMA) di sebuah premis di Aman Square di sini antara 4.20 pagi dan 7.23 pagi pada 2 Okt 2024.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000.

Majistret Noor Farah Hazwani membenarkan lima tertuduh dijamin RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan memindahkan kes mereka untuk dibicarakan di hadapan Majistret Noor Fazlina.

Bagi tujuh tertuduh yang dibicarakan di hadapan Majistret Noor Fazlina, mahkamah menetapkan jaminan RM1,800 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Majistret Noor Fazlina turut menetapkan 30 Nov depan sebagai tarikh pengurusan semua kes berkenaan.

Kes di kedua-dua mahkamah itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Md Noor dan Adlin Sufiya Kamaruzzaman.

Peguam Datuk Suhaimi Ibrahim dan Mohd Khairul Fairuz Rahman mewakili lapan tertuduh, manakala peguam Burhanudden Abdul Wahid mewakili empat tertuduh.

Kesemua tertuduh tersebut yang digantung tugas serta-merta selepas didapati positif dadah dalam serbuan pada 2 Okt 2024, sebelum ini menghadapi pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan pada November tahun sama, bagaimanapun kes itu diklasifikasikan sebagai dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada April tahun ini.

- Bernama