Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menurunkan ambang penutupan institusi pendidikan di bawah bidang kuasanya susulan keadaan jerebu yang semakin buruk di beberapa kawasan.

Mulai esok, Jumaat, semua institusi pendidikan di bawah KPM di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 180 — atau melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut — hendaklah ditutup bagi melindungi keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan.

Pengumuman kementerian itu dibuat beberapa jam selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa supaya kesihatan dan keselamatan murid diutamakan apabila bacaan IPU berada antara 150 hingga 180.

Paras ambang baharu itu lebih rendah berbanding paras IPU 200 yang digunakan ketika ini untuk menutup sekolah.

Ketua Pengarah Pendidikan Azam Ahmad berkata sekolah dan institusi pendidikan yang terjejas juga perlu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) sepanjang tempoh penutupan.

“Bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut hendaklah ditutup bermula pada Isnin, 12 Oktober 2026.

“Sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM yang terjejas dikehendaki melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan KPM tidak menyenaraikan sekolah atau kawasan yang terjejas oleh peraturan baru itu.

Bagaimanapun, berdasarkan bacaan terkini pada 8 malam, tiga stesen pemantauan udara merekodkan bacaan IPU melebihi 180, manakala tiada stesen mencatatkan bacaan melebihi 200. Stesen berkenaan ialah Segamat (190), Seremban (189) dan Nilai (184).

Sebanyak 31 stesen pemantauan udara merekodkan bacaan IPU antara 150 hingga 180, di beberapa lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia kecuali Kelantan dan Perlis.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah supaya keselamatan dan kesihatan murid diutamakan ketika jerebu, selain menyarankan sekolah di kawasan terjejas ditutup, khususnya jika bacaan IPU kekal antara 150 hingga 180 untuk tempoh berpanjangan.

“Kementerian Pendidikan (KPM) mesti memberi perhatian serius terhadap perkara berkenaan (jerebu), langkah sewajarnya perlu diambil oleh kementerian dan agensi berkenaan bagi melindungi murid dan pelajar, termasuk warga emas serta pesakit respiratori,” titah baginda.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata keputusan itu dibuat susulan titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesihatan murid berikutan keadaan jerebu ketika ini.

Pihak sekolah kata KPM diarahkan memastikan kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran murid melalui kaedah yang bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.

Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada pertimbangan Menteri Pendidikan.

KPM juga berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan di bawah kementerian perlu memantau bacaan IPU secara berterusan serta mengambil tindakan sewajarnya apabila paras yang ditetapkan dicapai.

KPM akan terus memantau perkembangan dari masa ke semasa dan sentiasa mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan terpelihara, kata kementerian itu.