Kes bunuh di sekolah buat ibu bapa resah
“Kalau nak berkawan, pastikan cari kawan yang baik, yang boleh dipercayai. Jangan percaya semua orang,” begitu pesan ibu bapanya yang sentiasa diingati seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Petaling Jaya.
Sejak kematian pelajar di sekolah menjadi perhatian, dia lebih berhati-hati dan memilih untuk bergerak bersama rakan atau orang yang lebih tua.
“Saya kena bergerak bersama orang yang lebih tua dan juga kadang-kadang dengan kawan-kawan. Itu cara yang paling selamat,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia mengakui berita mengenai kes buli dan kematian pelajar membuatkannya berasa kurang selamat. Namun, kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah sedikit sebanyak memberinya keyakinan.
/file/attachments/orphans/p5asdas2d_114844.png)
Kebimbangan itu turut dirasai ibu bapa dan penjaga yang ditemui Malaysiakini, selepas beberapa kematian pelajar menggemparkan masyarakat.
Terbaru, pelajar tingkatan empat Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor, pada 3 Oktober lalu. Dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun direman bagi membantu siasatan.
Seorang rakan sekelas menyifatkan Irene sebagai antara pelajar terbaik di sekolah dan yakin dia mampu mendapat semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
/file/attachments/orphans/p3342da_487892.png)
Kematian Irene mengingatkan orang ramai kepada nasib Yap Shing Xuen, 16, yang maut ditikam di tandas perempuan SMK Bandar Utama Damansara (4), Petaling Jaya, pada 14 Oktober tahun lalu.
Sebelum itu, Zara Qairina Mahathir, 13, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah, meninggal dunia pada 17 Julai tahun lalu, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya.
Bagi Habibah Mat Isa, 50, berita mengenai keganasan dan buli di sekolah membangkitkan keresahan sebagai seorang ibu.
“Kita membesarkan mereka sejak kecil hingga dewasa. Tiba-tiba, ketika baru berusia 16 tahun dan kita masih belum sempat melihat masa depan serta kerjaya mereka, kita pula terpaksa berdepan dengan kehilangan anak.
/file/attachments/orphans/safety12_700872.png)
“Sedih pula apabila bercakap tentang perkara ini, sebab kita sendiri mempunyai anak,” katanya dengan nada hiba.
Habibah (gambar atas) berkata komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak penting supaya masalah yang berlaku di sekolah tidak dipendam. Dia turut berpandangan pihak sekolah perlu bertindak pantas dan tegas terhadap setiap aduan pelajar.
Disiplin, pemantauan dan peranan keluarga
Sasee Kumaran, 48 pula mahu disiplin di sekolah diperkasakan semula, termasuk mengembalikan peranan guru disiplin dan pengawas.
“Disiplin perlu diutamakan. Guru disiplin perlu tegas dan pengawas juga perlu memainkan peranan dengan serius. Barulah pelajar lebih menghormati dan mematuhi guru disiplin serta pengawas,” katanya.
/file/attachments/orphans/AnnessaTan1_442929.png)
Sasee (gambar atas) turut mencadangkan sekolah menggunakan kemudahan seperti WhatsApp untuk segera memaklumkan ibu bapa jika berlaku masalah disiplin atau insiden keselamatan.
Sementara itu, pemandu van sekolah Krishanan Ramadass, 46 (gambar bawah) berkata ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan tanggungjawab menangani masalah disiplin pelajar sepenuhnya kepada pihak sekolah.
“Ibu bapa juga perlu mengambil tanggungjawab. Bagi saya, tanggungjawab ibu bapa adalah yang paling utama.
“Masalah boleh menjadi serius sehingga melibatkan kejadian yang menyebabkan pelajar sanggup membunuh. Ibu bapa perlu memainkan peranan,” katanya.
/file/attachments/orphans/AnnessaTan3_770774.png)
Hawa Ismail, 76, yang pernah bekerja sebagai pembantu am sekolah dan kini menjaga cucu, berpendapat pengawasan terhadap murid perlu dipertingkatkan.
“Pengalaman bekerja di sekolah dahulu berbeza dengan sekarang. Sekarang pengawasan agak longgar. Pelajar perlu dijaga dan dipantau dengan lebih rapi.
“Pantau siapa yang masuk dan datang ke kawasan sekolah, ke mana pelajar pergi. Perhatikan keadaan dengan teliti,” katanya.
/file/attachments/orphans/safety1d2ed_818107.png)
Peniaga buah-buahan Abdul Wahab Ismail, 67 (gambar atas) berkata tanggungjawab mendidik dan memantau anak tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu guru, terutama di luar waktu persekolahan.
“Cikgu kalau datang sekolah, itu memang tanggungjawab dia kan.
“Kalau di luar sekolah, mana dia tahu? Ibu bapa ataupun saudara yang kena beri lebih perhatian,” katanya.
/file/attachments/orphans/school1_695923.png)
Dalam pada itu, pelajar tingkatan tiga yang ditemui Malaysiakini pula memberitahu tanggungjawab menjaga keselamatan juga bermula di rumah.
Dia berkata guru sering memberi peringatan ketika perhimpunan mengenai isu buli dan tindakan yang perlu diambil jika berdepan situasi berbahaya, termasuk membuat aduan kepada guru disiplin.
“Saya rasa semuanya mungkin bermula daripada ibu bapa. Mereka perlu didik anak-anak supaya jadi lebih berdisiplin,” katanya.
Menurutnya, kejadian keganasan terbaru di Johor turut menjadi perbualan dalam kalangan rakan-rakannya yang terkejut dengan apa yang berlaku.
“Saya kena bergerak bersama orang yang lebih tua dan juga kadang-kadang dengan kawan-kawan. Itu cara yang paling selamat,” katanya.
/file/attachments/orphans/school2_421572.png)
Seorang lagi pelajar berkata sekolahnya pula menyediakan saluran aduan tanpa nama supaya pelajar boleh melaporkan kes buli atau perkara yang dianggap berbahaya.
“Kami ada peti surat tanpa nama untuk masukkan surat dan buat laporan,” katanya penuntut tingkatan empat sebuah sekolah menengah kebangsaan di Petaling Jaya.
Dia berkata sekiranya sesuatu berlaku kepadanya, dia akan segera meminta bantuan dengan memberitahu orang lain.
Berhubung kes pelajar perempuan yang maut ditikam di tandas sekolah di Bandar Utama, dia mengakui berasa sedikit bimbang dan berusaha mengelakkan diri daripada bersendirian.
“Saya sentiasa bersama rakan-rakan dan tak pergi ke tempat-tempat tertentu secara bersendirian,” katanya.
Rondaan setiap dua jam
Di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Petaling Jaya, langkah keselamatan termasuk rondaan berkala dan pemeriksaan menggunakan alat pengimbas untuk mengesan barang tajam.
/file/attachments/orphans/safety1_219050.png)
Mohamad Haniff Mohamed Nordin, 49 (gambar atas) yang sudah dua tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah itu, berkata pemeriksaan mengejut turut dilakukan.
Rutin hariannya termasuk meronda seluruh kawasan sekolah, termasuk lokasi sunyi seperti blok tingkat atas dan kelas yang belum digunakan selepas kerja pengubahsuaian. Menurutnya, rondaan dibuat setiap dua jam.
Ditanya jika sekolah masih selamat untuk pelajar, Haniff berkata keadaan setakat ini masih terkawal berdasarkan pengalamannya bertugas di situ.
“Setakat yang saya kerja dah dua tahun ini, tak ada masalahlah,” katanya.
Namun, dia pernah berdepan detik cemas apabila seorang pelajar cuba terjun dari bangunan sekolah.
Katanya, guru memujuk pelajar itu dengan bantuan anggota polis, bomba dan ambulans sebelum dia dibawa ke hospital.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/10/1839da5513b9fc39f7f4395441da4a8b.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.