Kuota pekerja asing dilulus atas 'tanah hantu', disyaki dijual di pasaran gelap
Di sebuah pejabat kecil berhampiran Jalan Makbar Darat, Kuantan, Nazlan Mokhtar, 57, duduk di kerusinya seperti biasa.
Setiausaha Koperasi Kijang Mas Negeri Pahang Berhad itu sudah bertahun-tahun menguruskan hal ehwal ribuan ahli koperasi tersebut. Namun sejak beberapa bulan lalu, kerusi itu terasa jauh lebih berat untuk didudukinya.
Ini bukan kisah biasa sebuah koperasi kampung. Ini kisah bagaimana kuota 1,125 pekerja asing, yang didakwa boleh bernilai berjuta ringgit dalam pasaran gelap perdagangan buruh, diluluskan atas nama sebuah koperasi Orang Asli, tanpa pengetahuan penuh pihak yang sepatutnya menandatanganinya, dengan kaedah yang mencurigakan, dan kemungkinan kuota tersebut disalahgunakan.
Siasatan Malaysiakini mendapati dokumen permohonan didasarkan atas tanah yang tidak wujud, perjanjian dengan syarikat tanpa lesen yang sah, tandatangan pengerusi yang didakwa dipalsukan, serta rekod perkahwinan seorang pengarah syarikat yang bercanggah antara dua agensi kerajaan.
Sementara itu, kuota yang diluluskan tidak pernah membawa seorang pun pekerja ke tanah koperasi.
"Saya ini tengah stres," katanya, separuh berseloroh, separuh serius, ketika ditemu bual Malaysiakini.
Mr G, Ms K
Kisah ini bermula bukan dengan kejayaan, tetapi dengan kegagalan.
Asal-usul Koperasi Kijang Mas boleh dikesan sekitar lewat 1980-an, ketika ia dikenali sebagai Korporasi Orang Asli Maju Rompin. Ia kemudian ditadbir di bawah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan seterusnya Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Menurut Nazlan, koperasi itu pada 2023 pernah memohon sendiri kuota pekerja asing melalui Ahli Jawatankuasa (AJK), tetapi permohonan itu gagal.
Bagi sebuah koperasi yang sudah bergelut dengan masalah kewangan, sementara bilangan ahli terus menyusut, setiap peluang untuk suntikan tenaga kerja dan pendapatan baru kelihatan seperti jalan keluar.
Dalam keadaan genting itulah, menurut Nazlan, dua individu muncul dalam urusan koperasi.
Mereka ialah seorang lelaki warga India dan seorang wanita warga Malaysia.
Dalam temu bual, Nazlan merujuk lelaki itu sebagai ejen utama, "Mr G", dan wanita itu sebagai "Ms K", sambil menegaskan itu bukan nama sebenar.
Menurut Nazlan, selepas kemunculan kedua-duanya, urusan kuota bukan lagi dalam kawalan penuh koperasi.
"Pertama, kami mohon untuk kuota pekerja asing. Kemudian, mereka datang sebagai ejen. Dia orang uruskan semua termasuk penyediaan dokumen dalam permohonan sampai lebih 1,100 kuota diluluskan," katanya.
Menurut Nazlan permohonan kedua diuruskan sepenuhnya oleh Mr G.
Hasilnya kuota 1,125 pekerja asing diluluskan atas nama Koperasi Kijang Mas.
/file/attachments/orphans/p1_305560.png)
Perjanjian yang mencurigakan
Namun terdapat beberapa perkara yang mencurigakan dalam proses tersebut.
Satu dokumen yang dilihat Malaysiakini menunjukkan sebuah "Agreement Deed" ditandatangani pada 1 Ogos 2024 antara koperasi dan Agensi Pekerjaan Uni Jobs Sdn Bhd, sebuah syarikat yang beralamat di Plaza Prima, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
Dalam dokumen itu, Uni Jobs digelar "kontraktor" manakala koperasi digelar "pemilik tanah",
Perjanjian tersebut seolah-olah memberi Uni Jobs hak untuk membawa masuk pekerja asing, menguruskan dan memenuhi segala peraturan, keperluan dan kebajikan pekerja asing termasuk segala peraturan kerajaan dan gaji.
Sebagai balasan, kontraktor perlu menuai getah dari tanah koperasi.
Namun, semakan di Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mendapati Uni Jobs tidak memiliki Lesen Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang sah.
Untuk rekod, lesen ini merupakan keperluan mandatori di bawah undang-undang Malaysia bagi mana-mana entiti yang ingin beroperasi sebagai agensi pekerjaan.
Lebih mengejutkan, Nazlan mendakwa tandatangan yang tertera atas nama pengerusi koperasi pada dokumen itu bukan tandatangan sebenar.
Dalam laporan polis yang dibuat oleh Nazlan bagi pihak koperasi, dia antara lain menuduh Mr G dan Ms K memalsukan tandatangan tersebut.
Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan pemalsuan tandatangan itu.
Bukan itu saja, Nazlan mengatakan pengerusi koperasi juga tidak pernah hadir dalam mana-mana sesi temu duga dengan pihak berkuasa untuk permohonan kuota pekerja asing tu.
"Dia ketika itu sedang tidak sihat," katanya.
Tanah hantu
Satu lagi perkara yang janggal dalam dokumen persetujuan itu adalah keluasan tanah yang dikatakan dimiliki oleh koperasi tersebut.
Dokumen tersebut menyatakan koperasi mempunyai tanah seluas 4,500 hektar. Angka yang sama dipercayai juga dipakai dalam permohonan yang diuruskan oleh Uni Jobs untuk mendapatkan kuota tersebut.
Namun tanah itu tidak wujud.
Sebaliknya, Nazlan berkata, keluasan sebenar tanah yang diusahakan koperasi untuk tanaman sayur-sayuran hanya sekitar 300 hingga 400 ekar - seperti yang dilihat Malaysiakini ketika melawat kawasan.
Selain isu kuota pekerja asing, terdapat keganjilan lain mengenai kes ini.
/file/attachments/orphans/p2_483732.png)
Semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Uni Jobs mempunyai dua pengarah, kedua-duanya warga Malaysia.
Berdasarkan dokumen rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), salah seorang daripadanya ialah isteri kepada Mr G.
Namun, semakan Malaysiakini di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan wanita warganegara itu juga berkahwin dengan seorang lelaki warganegara lain, dan perkahwinan itu masih aktif kerana belum bercerai.
Malaysiakini telah mengemukakan pertanyaan rasmi kepada KDN untuk menjelaskan percanggahan rekod ini.
Malaysiakini juga telah menghubungi Mr G, Ms K, kedua-dua pengarah Uni Jobs (termasuk wanita yang didakwa isteri Mr G) dan suami sahnya pada 1 September 2026 untuk mendapatkan komen mengenai semua dakwaan terhadap mereka, namun masih belum menerima maklum balas mengenai isu ini.
KDN ketuk pintu
Menurut Nazlan, masalah sebenar bermula selepas koperasi menerima kelulusan.
Pihak koperasi menanti kedatangan tenaga kerja untuk membangunkan tanah mereka, tetapi hari demi hari berlalu tanpa kepastian.
Apabila koperasi cuba mendapatkan status terkini pekerja asing, Ms K didakwa memberi pelbagai alasan, antaranya mendakwa wujud masalah di bahagian Imigresen.
Setelah beberapa lama, tiada seorang pun pekerja asing turun ke tanah koperasi, yang menyebabkan pihak koperasi semakin curiga.
/file/attachments/orphans/nantha2_183301.png)
Pihak koperasi akhirnya mengesyaki bahawa kedua-dua ejen itu telah menjual kuota tersebut kepada pihak ketiga secara tidak sah, serta menyalahgunakan nama dan status koperasi tanpa sebarang kebenaran atau kuasa sah.
"Kuota 1,125 pekerja asing yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan tanah koperasi telah dikeluarkan dan dijual kepada pihak ketiga sebagai komoditi tersendiri.
"Sementara koperasi hanya menjadi nama di atas kertas untuk mengesahkan kelulusan kuota tersebut," katanya.
Kejutan sebenar tiba apabila KDN sendiri menghubungi koperasi.
Menurut Nazlan, pegawai KDN bersama JIM mula-mula datang ke Kuantan, kemudian meminta wakil koperasi hadir ke Putrajaya untuk sesi soal siasat yang lebih terperinci.
"Bila KDN datang ke pejabat, dia orang tanya saya tahu tak pekerja asing ini dah masuk negara?" kata Nazlan, mengingati detik yang mengubah segala-galanya.
"Saya cakap tak tahu."
Di Putrajaya, pegawai menunjukkan dokumen dan menyoal siasat wakil koperasi.
Selepas mendapati koperasi berkemungkinan ditipu, pegawai KDN menasihatkan koperasi membuat laporan polis sebagai langkah melindungi kedudukannya sendiri.
Pada 19 Januari 2026, Nazlan membuat laporan rasmi di Balai Polis Travers, Brickfields, Kuala Lumpur.
Dalam laporan itu, dia menafikan dan membersihkan nama koperasi daripada sebarang penglibatan dalam aktiviti penipuan tersebut, di samping melaporkan penyalahgunaan dan pemalsuan dokumen koperasi.
/file/attachments/orphans/nantha1_658487.png)
Dia menegaskan koperasi tidak terlibat, tidak menandatangani sebarang perjanjian, dan tidak menerima sebarang bayaran atau keuntungan daripada urusan pengurusan atau penjualan kuota yang dikaitkan dengan nama koperasi.
Nazlan turut memohon polis menjalankan siasatan terperinci terhadap Mr G, Ms K dan mana-mana pihak lain yang terlibat, serta mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan penipuan, pemalsuan dokumen, pecah amanah dan bersubahat.
Menurutnya, perbuatan itu telah menyebabkan kerosakan reputasi dan risiko perundangan kepada koperasi.
Mengulas pertanyaan Malaysiakini mengenai isu ini, KDN bersama-sama dengan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia kini dalam proses mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang terlibat terutama dalam kesalahan pemalsuan dokumen, kesalahan-kesalahan imigresen dan dakwaan unsur pemerdagangan orang yang dikaitkan dengan kes ini.
"Kementerian juga telah menjalankan naziran dan siasatan lanjut, dan mendapati terdapat pihak-pihak yang terlibat dalam pemalsuan dokumen serta unsur pemerdagangan orang," menurut mereka lagi.
"Kes ini juga menjadi satu lagi bukti betapa pentingnya KDN menjalankan proses naziran secara telus dan menyeluruh, bagi memastikan sebarang penyalahgunaan kuota pekerja asing dapat dikesan dan dibendung pada peringkat awal," tambahnya.
Seruan terakhir
Di penghujung temu bual, ketika ditanya apa tuntutan sebenar terhadap kerajaan, Nazlan tidak meminta pampasan atau tindakan drastik. Permintaannya jauh lebih sederhana.
"Saya minta kerajaan beri perhatian kepada jabatan berkaitan, sama ada dari segi tenaga asing atau lain-lain, jaga elok-elok.
"Orang Asli, kalau tak ada orang bawa, dia orang tak tahu pasal benda ni," katanya.
"Sampai perangkap kena tipu pun kami tak tahu.
"Kami harap KDN kembalikan kuota kami agar kami boleh membawa masuk pekerja asing untuk mengusahakan tanah kami," katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/main1c_248033.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.