Polis siasat dendam cinta ditolak motif Irene dibunuh
Polis percaya rasa sakit hati selepas hasrat bercinta ditolak mungkin menjadi motif pembunuhan pelajar berusia 16 tahun Irene Sofiya Khairool Faisal di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor. Bagaimanapun, siasatan mengenai kemungkinan motif itu masih berjalan.
Pembunuhan itu berlaku ketika Malaysia berdepan rentetan kejadian keganasan di sekolah, sekali gus mencetuskan kebimbangan baru terhadap keselamatan pelajar.
“Polis percaya motif pembunuhan adalah akibat perasaan dendam suspek terhadap mangsa termasuk berkaitan penolakan cinta suspek dan menjalinkan hubungan dengan kawan baik sendiri.
“Bagaimanapun, perkara ini akan diperhalusi dalam siasatan yang masih dijalankan,” kata Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad, seperti dipetik Bernama.
/file/attachments/orphans/p5asdas2d_114844.png)
Rahaman berkata suspek lelaki berusia 16 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan itu merupakan rakan sekelas Irene Sofiya. Katanya, setakat ini tiada individu lain dikenal pasti terlibat dalam kes berkenaan.
Polis turut merampas sebatang logam sepanjang 96cm yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa sehingga maut.
Rahaman berkata batang logam itu antara beberapa barangan yang dirampas atau ditemukan di Yong Peng sepanjang siasatan dari 4 hingga 8 Okt.
Seutas tali leher biru dililit pada salah satu hujung batang logam itu, berkemungkinan sebagai pemegang ketika senjata berkenaan digunakan untuk memukul mangsa.
“Berdasarkan laporan bedah siasat, kita percaya pukulan mengenai bahagian kepala, tetapi terdapat juga kesan pukulan pada badan, tangan dan beberapa anggota tubuh mangsa,” katanya.
Bukti di lokasi kejadian turut menunjukkan berlaku pergelutan antara Irene Sofiya dengan suspek, dengan meja dan kerusi terbalik serta sebuah pasu bunga pecah. Polis juga menemukan tanda-tanda mangsa cuba mempertahankan diri.
Bagaimanapun, Rahaman berkata siasatan tidak menunjukkan pasu bunga itu digunakan sebagai senjata.
Barang rampasan untuk analisis
Barangan lain yang dirampas termasuk sebuah iPhone 13 Pro, jersi Mizuno, seluar panjang hitam, sepasang selipar Adidas, set penyahkod Alhua Technology, seluar sukan hitam serta baju sukan putih dan merah bernombor 27 yang mempunyai kesan dipercayai darah.
Polis turut merampas sebuah beg kanvas berisi alat tulis, beg galas berisi buku Matematik Tambahan dan kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tertera nama Irene Sofiya, sepasang cermin mata, kunci berjenama Yamaha, botol minuman Owala, tiga helaian rekod kehadiran pelajar serta sebuah kalkulator Casio berwarna merah jambu.
Rahaman berkata semua barang kes telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis.
Ditanya sama ada berlaku cubaan rogol, dia berkata siasatan setakat ini tidak menemukan bukti kejadian sedemikian.
Katanya, setakat yang diketahui, suspek tidak mempunyai rekod salah laku disiplin di sekolah. Sebarang persoalan mengenai keadaan mental remaja itu akan dirujuk kepada mahkamah jika dia didakwa dan dikehendaki menjalani penilaian psikiatri.
Pada 3 Okt, Irene ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sekolah kira-kira jam 5.50 petang. Dia kemudian disahkan meninggal dunia.
Suspek direman selama enam hari bermula 4 Okt bagi membantu siasatan. Tempoh remannya akan dilanjutkan enam hari lagi mulai esok.
Kes berkaitan
Pada Oktober tahun lalu, Yap Shing Xuen, 16, maut ditikam rakan sekolahnya di tandas perempuan sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.
Tertuduh berusia 15 tahun itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Sept selepas hakim mendapati dia tidak sempurna akal ketika kejadian. Jabatan Peguam Negara telah merayu keputusan itu.
Hakim Adlin Abdul Majid bagaimanapun memerintahkan remaja itu ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, untuk menerima rawatan selama diperkenankan Sultan Selangor.
Keluarga Yap telah memfailkan saman sivil terhadap beberapa agensi kerajaan, remaja itu dan ibu bapanya. Mereka berkata tindakan undang-undang itu “bukan soal membalas dendam”, sebaliknya untuk memastikan pihak berkaitan dipertanggungjawabkan dan tiada kanak-kanak lain mengalami nasib sama.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/10/6dcb53a5ccdcd7b2bc4b0628ef004d49.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.