Inkues: Zara bimbang dibuli lebih teruk jika ibu campur tangan
Allahyarham Zara Qairina Mahathir pernah menghalang ibunya daripada bersemuka dengan pelajar senior di asrama sekolahnya kerana bimbang tindakan itu akan menyebabkan dia dibuli dengan lebih teruk.
Ibu remaja itu, Noraidah Lamat, 46, yang juga saksi ke-81, berkata dia pernah mencadangkan pertemuan dengan warden, pengawal keselamatan, pelajar senior yang terlibat serta Zara Qairina bagi mendapatkan penjelasan mengenai masalah diadukan anaknya.
Bagaimanapun, Noraidah berkata Zara Qairina tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana bimbang akan menerima tindakan balas daripada kumpulan pelajar senior berkenaan.
“Anak saya menghalang. Contoh ayatnya begini, Janganlah mak buat, mak. Orang tu nanti buat lebih teruk lagi kepada Zara, mak. Orang tu ada geng, geng besar di asrama,” katanya ketika memetik kata-kata anaknya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan di Kota Kinabalu hari ini.
Noraidah berkata demikian ketika disoal peguam Joan Goh, yang mewakili seorang daripada remaja didakwa dalam kes buli membabitkan Zara Qairina, mengenai tindakan diambilnya selepas menerima aduan berhubung masalah dengan pelajar senior di asrama.
Ketika ditanya mengapa dia tidak mengambil tindakan dengan berjumpa pengetua atau warden bagi menangani aduan buli dialami anaknya, Noraidah berkata dia masih mempercayai pentadbiran sekolah berkenaan walaupun Zara Qairina pernah menghalangnya daripada campur tangan.
“Saya masih percaya lagi kepada pentadbiran sekolah kerana sekolah itu sekolah tersohor di Sabah, sekolah agama,” katanya.
Joan kemudian membangkitkan bahawa aduan Zara Qairina mengenai masalah dengan pelajar senior bukan hanya berlaku sekali dan Noraidah bersetuju dengan perkara itu.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengapa dia tidak menemui pihak sekolah meskipun menerima aduan berulang, Noraidah berkata dia tidak menyangka kejadian buli serius boleh berlaku di sekolah berkenaan sehingga membawa kepada kematian anaknya.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada awal pagi.
Prosiding inkues bersambung petang ini.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/08/36cae4d66f2565aaf643de16c12be6fd.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.