LANGSUNG | PTPTN: Bayaran peminjam pendapatan hingga RM2,500 ditangguh, diskaun 10% pembayar konsisten
Malaysiakini membawakan perkembangan terkini secara langsung pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
4.36 petang - Pengguna pengangkutan awam di Kuala Lumpur boleh terus membeli pas My50 tahun depan.
Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan pas MyKomuter50 bagi pengguna KTM Komuter.
4.32 petang - Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan pendapatan bulanan sehingga RM2,500 akan diberikan penangguhan bayaran balik pada 2027.
Bayaran balik minimum RM50 akan dikenakan kepada peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000. Langkah itu akan memberi manfaat kepada lebih 400,000 peminjam PTPTN.
Selain itu, peminjam yang tiada tunggakan dan membuat bayaran balik secara tetap akan diberikan diskaun 10 peratus.
Majikan yang membayar balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja mereka akan mendapat potongan cukai. Insentif itu meliputi bayaran balik yang dibuat dari 1 Jan 2027 hingga 31 Dis 2028.
4.30 petang - Pelajar tingkatan enam akan menerima elaun sara hidup RM2,500, seperti yang diberikan kepada pelajar matrikulasi.
Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap anak. Anwar berkata ibu bapa yang mempunyai empat anak akan menerima RM800 pada awal sesi persekolahan.
Dia mahu bantuan itu diagihkan di sekolah supaya ibu bapa dapat bertemu guru anak-anak mereka. Katanya, terdapat masalah mendapatkan penglibatan ibu bapa dalam persekolahan dan pengasuhan anak-anak.
4.26 petang - Kementerian Pendidikan menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2027 sebanyak RM69 bilion, berbanding RM66.2 bilion tahun ini.
Ini termasuk tambahan RM1 bilion, menjadikan peruntukan untuk membaiki dan menyelenggara semua jenis sekolah sebanyak RM2 bilion.
Peruntukan bagi sekolah jenis kebangsaan meningkat kepada RM900 juta, diikuti RM100 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan RM50 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).
Peruntukan bagi sekolah agama, institusi tahfiz dan sekolah pondok yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meningkat kepada RM200 juta. Skop peruntukan turut diperluas untuk meliputi bantuan operasi institusi.
Sebanyak RM1.3 bilion disediakan untuk menaik taraf 682 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak.
4.24 petang - Anwar mengumumkan kerajaan akan meneruskan rancangan melaksanakan skim insurans MediAsas yang disokong kerajaan tahun depan.
Dia tidak mengumumkan kadar premium, namun sebelum ini dilaporkan bayaran bulanan boleh serendah RM60, dengan bayaran bersama dikenakan apabila mendapatkan rawatan di hospital swasta.
Anwar berkata pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh membayar premium MediAsas menggunakan simpanan Akaun Sejahtera (Akaun 2).
4.25 petang - Bantuan awal persekolahan diberi kepada setiap pelajar sekolah naik dari RM150 ke RM200. Ini memanfaatkan 5.3 juta murid dengan peruntukan RM1 bilion.
4.22 petang - Anwar berkata isu doktor kontrak akan diselesaikan dengan menawarkan 9,000 jawatan sepenuh masa pada 2027.
Sementara itu, elaun asas penempatan akan dinaikkan daripada RM100 kepada RM200.
Selain itu, susulan nahas tragis melibatkan perkhidmatan doktor udara di Sarawak, Anwar berkata insentif bagi petugas perubatan dalam perkhidmatan itu akan dinaikkan daripada RM30 kepada RM100.
4.20 petang - Peruntukan bagi orang kurang upaya (OKU) meningkat kepada RM1.5 bilion untuk memberi manfaat kepada lebih 300,000 OKU.
Ini termasuk bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik yang dinaikkan sebanyak RM100 kepada RM600.
Had pendapatan untuk layak menerima elaun pekerja OKU pula dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000, manakala elaun murid berkeperluan pendidikan khas meningkat daripada RM150 kepada RM200 sebulan.
Insentif bagi guru pendidikan khas dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan, memberi manfaat kepada 20,000 guru.
4.19 petang - Berkuat kuasa 1 Jan 2027, kadar cukai perkhidmatan bagi penjagaan warga emas dikurangkan daripada lapan peratus kepada enam peratus.
Sementara itu, pengecualian cukai penuh diberikan bagi yuran penjagaan sehingga RM96,000 setahun.
Bagi menyokong sistem penjagaan warga emas, RM40 juta diperuntukkan kepada HRD Corp untuk melatih 8,000 penjaga, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang itu.
4.10 petang - Pembeli rumah pertama mungkin mahu menunggu hingga 1 Jan 2027 sebelum menandatangani perjanjian jual beli (SPA).
Kerajaan akan memberikan pengecualian penuh duti setem bagi perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik untuk pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000.
Bagi rumah berharga sehingga RM750,000, RM500,000 pertama dikecualikan daripada duti setem, manakala duti setem ke atas baki nilai rumah diberi diskaun 50 peratus.
Langkah itu terpakai bagi SPA yang ditandatangani dari 1 Jan 2027 hingga 31 Dis 2030.
4.08 petang - Acara seni, budaya, hiburan dan sukan yang diadakan di Stadium Merdeka serta Stadium Negara akan dikecualikan daripada duti hiburan sebagai sebahagian usaha menghidupkan semula warisan negara.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga akan membina laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer yang menghubungkan mercu tanda seperti Masjid Negara, Dataran Merdeka dan Pasar Seni.
Anwar berkata laluan pejalan kaki juga akan dibina dari kawasan perumahan ke premis perniagaan, sekolah, klinik dan stesen pengangkutan awam.
Projek jalan luar bandar diperuntukkan RM2.3 bilion, manakala RM3.3 bilion disediakan untuk projek infrastruktur asas luar bandar, termasuk pemasangan lampu jalan.
4.05 petang - Kerajaan akan menggandakan bilangan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang ditawarkan kepada pelajar di Sabah dan Sarawak.
Anwar berkata langkah itu akan memberi manfaat kepada 4,200 pelajar dari kedua-dua negeri setiap tahun.
4.01 petang - Anwar menggesa majikan sektor swasta mencontohi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menaikkan penanda aras gaji kehidupan wajar daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan.
Langkah itu memberi manfaat kepada kira-kira 230,000 pekerja. Beberapa majikan dalam sektor utama, termasuk perbankan serta minyak dan gas, sudah menetapkan kadar gaji yang lebih munasabah.
4.00 petang - Anwar mengumumkan rancangan besar untuk menangani banjir kilat di Lembah Klang, dengan peruntukan RM100 juta bagi membina lebih banyak kolam takungan dan menyelenggara sungai.
Usaha juga akan dilaksanakan untuk menangani banjir dan masalah bekalan air bersih di Kelantan, termasuk rancangan membangunkan Projek Empangan Lebir.
Selain itu, kerajaan Madani berhasrat menjadikan Pulau Pinang hab teknologi kewangan, dengan Khazanah Nasional dan InvestPenang mewujudkan dana RM100 juta.
3.55 petang - Kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 berkuat kuasa Jun 2027.
/file/attachments/orphans/gajigraduan_110830.png)
Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan kurang daripada RM50 juta dikecualikan daripada langkah itu.
Anwar berkata lebih empat juta pekerja akan mendapat manfaat daripada kadar baru itu.
Katanya, kerajaan turut bersetuju memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan sebagai kadar permulaan bagi pekerja separa mahir dan graduan.
3.53 petang - Pelepasan cukai individu akan dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000 bagi tahun taksiran 2027, iaitu cukai yang akan difailkan pada 2028.
Sementara itu, kadar cukai pendapatan bagi pemastautin akan diturunkan sebanyak satu mata peratusan.
Anwar turut mengumumkan peluasan skop pelepasan cukai lain untuk meliputi:
Penjagaan selepas bersalin.
Semua kos penjagaan warga emas, bukan hanya kos penjagaan kesihatan.
Kasut sukan.
Yuran pendidikan bagi semua bentuk pengajian, termasuk kelas tuisyen.
Langganan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI).
Vaksin.
Kos pengambilan haiwan peliharaan angkat dari pusat perlindungan berdaftar.
3.50 petang – Sumbangan Asas Rahmah (Sara) bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan dinaikkan kepada maksimum RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.
Jumlah tahunan itu dua kali ganda berbanding RM900 yang diberikan kepada penerima STR di bawah Belanjawan 2026.
Selain itu, Sara kini juga boleh digunakan untuk membeli barangan segar.
3.49 petang – Jumlah peruntukan Putrajaya bagi subsidi, bantuan dan insentif untuk rakyat akan melebihi RM80 bilion.
Ini termasuk subsidi bahan api yang menurut Anwar dijangka kekal pada RM40 bilion, serta peruntukan hampir RM3.3 bilion untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
3.44 petang – Anwar memuji Budi95 sebagai kejayaan negara dan menegaskan kerajaan Madani pimpinannya satu-satunya kerajaan yang cukup berani melaksanakan penyasaran subsidi.
Katanya, penjimatan daripada penyasaran subsidi digunakan untuk bantuan lain seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
3.41 petang – Anwar berkata kejayaan sebenar ekonomi tidak seharusnya dinilai berdasarkan kadar pertumbuhan semata-mata, tetapi juga sejauh mana ia menangani masalah kehidupan rakyat.
Justeru, kata perdana menteri, persoalan bagi Putrajaya bukan sekadar sebesar mana ekonomi yang mahu dibangunkan, tetapi sama ada pertumbuhan itu membolehkan keluarga mengumpul simpanan dan pekerja menikmati gaji yang lebih bermaruah.
Katanya, perusahaan kecil juga perlu diberi ruang untuk berkembang.
3.30 petang - Kerajaan memperuntukkan RM459.8 bilion untuk Belanjawan 2027.
Jumlah itu RM40.6 bilion lebih tinggi berbanding belanjawan yang dibentangkan sebelum ini.
Peningkatan kos subsidi susulan harga bahan api yang kekal tinggi menjadi antara cabaran utama belanjawan kali ini.
BACA BERKAITAN: Sebesar mana Belanjawan 2027?
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/anwar2342423_259195.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.