Perdana menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR SARA) 2027 ditingkatkan kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion pada masa ini.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2027 berkata semua penerima bantuan STR akan menerima Sara sehingga RM150 sebulan atau RM1800 tahun.

"Ini akan memanfaat sehingga 9 juta penerima STR. Manakala selain penerima STR yang berumur 18 tahun ke atas, akan menerima Sara Madani RM100 sebanyak dua kali iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang ambang 7 dasawarsa Merdeka.

"Ini akan memanfaat sehingga 13 juta rakyat Malaysia termasuk golongan M40," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga bersetuju untuk penggunaan Sara kepada barangan basah dan segar, yang boleh dibeli di 216 pasar tani atau tamu di bawah FAMA seluruh negara.

"Setakat ini, rakan niaga Sara berjumlah 15,000 premis termasuk 6,800 kedai runcit kecil dan koperasi. Sebelum akhir tahun ini, insyaallah kerajaan akan meningkatkan kedai runcit kecil kepada 10,000," katanya.

Selain itu Anwar berkata peruntukan jualan Rahmah Madani dan jualan Agro Madani ditingkatkan daripada RM630 juta kepada RM750 juta dengan sasaran 35,000 penganjuran.

"30,000 ribu jualan Rahmah melibatkan semua DUN. Tumpuan adalah untuk memperbanyak penganjuran jualan Rahmah di kawasan desa, perumahan kos rendah dan PPR bandar; yang bukan sahaja melalui kedai runcit biasa, tetapi turut melibatkan mesin layan diri.

"Selain itu, jualan Rahmah Madani borong turut dianjurkan bagi membantu peniaga kecil. 5,000 jualan Agro Madani juga dilaksanakan dengan menawarkan hasil tani segar seperti ikan, ayam, sayur dan buah pada harga sehingga 30 peratus lebih murah," ujarnya.