Kata langka dari mulut Anwar ketika bentang Belanjawan 2027
Seperti tahun-tahun lalu, Anwar Ibrahim tidak lupa mengetengahkan pelbagai istilah dari bermacam bahasa - termasuk yang langka - semasa membentangkan belanjawan selaku menteri kewangan.
Hari ini dia yang juga perdana menteri mengulangi kelaziman tersebut.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027, Anwar yang tampil di Dewan Rakyat dengan sepasang baju Melayu biru muda hari ini memetik beberapa perkataan atau istilah.
Antaranya ungkapan segulai sejalai dalam menggambarkan semangat kesatuan dalam menjayakan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia di Sepang, Selangor baru-baru ini.
Ungkapan dielek bahasa Iban itu membawa maksud seiring sejalan.
Turut digunakan Anwar ialah satu lagi istilah dalam bahasa Iban itu mansang yang membawa maksud 'maju' atau 'bergerak ke depan'.
Ahli Parlimen Tambun itu juga menegaskan perkataan waad atau wa'ad yang berasal daripada bahasa Arab yag membawa maksud ikrar atau aku janji.
Dia menegaskan bahawa belanjawan negara adalah pernyataan moral atau 'waad nasional' sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab.
Berikut antara istilah yang digunakan Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2027 hari ini:
Segulai sejalai – seiring sejalan
Mansang – maju, bergerak ke hadapan, semakin, mari, atau pergi
Waad – ikrar atau aku janji
Pranata – institusi, sistem
Inayat – pertolongan, perlindungan, atau kurniaan (daripada Allah)
Pemerataan – perihal menjadikan sesuatu sekata, adil, atau merata.
Seyogia – sepatutnya, selayaknya, semestinya
Zeitgeist (bahasa Jerman) – semangat zaman.
Dasawarsa - dekad.
Selain itu, dalam pembentangannya Anwar turut memetik ungkapan dalam Gurindam 12 karangan penyair dan sejarawan Melayu silam, Raja Ali Haji pada 1847 yang mengungkapkan:
Hukum adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh inayat.
"Ungkapan ringkas ini membawa suatu pengertian yang besar dan membekas, bahawa kekuasaan dimaknai bukan pada kebesaran kedudukan, tetapi pada keadilan yang dirasakan oleh rakyat.
"Pemerintahan yang berwibawa bukan sekadar pemerintahan yang kuat, tetapi pemerintahan yang tahu bahasa kuasa mesti sentiasa disertai amanah dan pertanggungjawaban," katanya.
Anwar juga memetik garapan pujangga agung Tamil, Thiruvalluvar, melalui karya masyhurnya, Tirukkural, dalam rangkap ke-731 yang mengungkapkan:
"Thalla vilaiyulum thakkaarum thaazhvilaach chelvarum servadhu naadu" (Negara yang unggul ialah negara yang subur hasil buminya, tinggi keilmuan dan budi rakyatnya, serta makmur kekayaannya tanpa mengesampingkan akhlak).
"Ternyata sejak zaman silam, Thiruvalluvar mengingatkan bahawa hebatnya sesebuah negara itu tidak sekadar bersandar pada limpahan khazanah dan mercu tanda, tetapi turut ditunjangi kebijaksaan keadilan dan kemanusiaan insan," katanya lagi.
Tidak ketinggalan menjadi perhatian Presiden PKR dan Pengerusi PH itu ialah petikan pendeta agung yang hidup pada era Dinasti Tang (618-907 Masihi) untuk mengungkapkan suatu kiasan yang sarat hikmah dalam syair Shangtang Kaishi Song, iaitu Bù jīng yī fān hán chè gǔ, zěn dé méi huā pū bí xiāng (Tidak akan terbit keharuman bunga plum tanpa terlebih dahulu mengharungi dingin yang menggigit hingga ke tulang).
"Kiasan ini mengungkap suatu hakikat tentang kehidupan dan perjuangan manusia, bahawa sesuatu pencapaian yang besar tidak lahur dari kesenangan yang berpanjangan, malah ia menuntut ketekunan, kesabaran dan kesanggupan menempuh getir," katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/anwarsmile_390386.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.