PULASAN | Ada yang hilang dari kita belakangan
PULASAN | Satu hantaran di Facebook pagi ini sepatutnya menyentuh hati dan hari kita semua.
Ia bercerita secara bersahaja tentang kehadiran ramai peminat bola sepak dalam kalangan masyarakat Cina du Stadium Selayang. Mereka hadir dengan wajah yang ceria. Ada cerita yang mahu dirakam.
Mereka – berdasarkan kepada kapsyen hantaran video berkenaan – hadir untuk menyaksikan pasukan Malayan Tigress B-17 beraksi. Sudah tentu mereka mahu menyaksikan pasukan wanita kebangsaan yang ada sosok Lim You di dalamnya.
Sudah tentu ia sesuatu yang membanggakan. Namun pada masa sama apa yang berlaku itu sekali gus memilukan.
Mengapa?
Sebab – jika mahu dijelaskan secara ringkas – apa yang berlaku itu sepatutnya bukan membawa cerita. Ia tidak sepatutnya memiliki nilai berita (news value).
Orang Cina atau orang bukan Melayu datang menyaksikan pasukan Malaysia beraksi di padang sepatutnya - dan sewajibnya - bukan sesuatu yang pelik!
Ketika nama negara sedang dipertaruhkan namanya, maka wajiblah semua rakyat bersama. Pedulilah Melayu atau bukan Melayu, bumiputera atau bukan bumiputera. Ia melibatkan nama negara dan maruah rakyatnya.

Gadai emosi kepada orang jahat
Orang Cina datang memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan sepatutnya sesuatu yang lumrah, yang lazim, yang 'klise' dan yang tak perlu dicengangkan!
Tetapi apakan daya, kita sekarang ini hidupnya dalam negara yang masing-masing terlalu mudah dibakar emosinya. Kita semakin biasa menganggap orang yang bukan sebangsa kita patut berada satu atau dua takut lebih rendah di bawah.
Orang lain – walau siapa pun – wajib dianggap hina berbanding kita.
Hukum alam sudah tetap bahawa apabila berlaku sesuatu aksi, akan adalah reaksi. Akan ada tindak balas. Akan memicu pertentangan.
Kemudian apabila satu pihak dihina, sudah tentu ia tidak akan didiamkan. Mereka akan membalas dan kadang-kadang lebih kejam. Ia tidak berakhir di situ atau semudah itu.
Kemudian kita pun gelisah kerana terpaksa hidup dengan saling curiga antara satu sama lain. Lebih malang ia biasanya tidak bertitik tolak daripada fakta, sebaliknya dek emosi yang kita gadaikan dengan rela kepada sesetengah orang jahat.
Seberapa ramai rakyat negara ini yang tahu bahawa kita pernah ada sebuah masyarakat yang saling hormat menghormati, yang hidup dalam keadaan harmoni sehingga semuanya terasa teduh?
Ketika itu ramai yang berasa akan sakit paha kirinya walaupun paha kanan orang lain disakiti.
Kemudian perasaan “kita” itu hilang. “Kita” hanya ada pada ketika dan tempat tertentu. Ia menjadi suatu sandiwara yang diulang-ulang demi mengaut sokongan dan keuntungan.
Sudah entah berapa dasawarsa kita terpaksa hidup dengan dua jiwa yang saling bertentangan tanpa sedar. Di hadapan orang ramai kita menjadi manusia yang berbeza ketika kita bersama kumpulan atau kelompok sendiri.
Keberadaan Lim You sendiri setakat ini belum boleh melegakan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/0ff42455f4b7568894f7c5097e5e00d5.jpg)
Bukan orang kita
Benar, di stadium atau di tempat-tempat lain, kita boleh bersama-sama meraikan kejayaan atau berkongsi duka apabila pasukan Malayan Tigress beraksi. Sedikit sebanyak terjelma kembali perpaduan yang pernah ada dan kita nikmati bersama suatu ketika dulu.
Namun pada masa sama, ada pihak yang mencemuh apabila Lim You didakwa tidak tahu berbahasa Melayu.
Ketika ada sebab untuk berdamai dengan realiti, tetap ada pihak yang mencari sebab untuk berseteru dan saling curiga.
Ketika ini nampaknya skuad kebangsaan Malayan Tigress B17 disertai oleh pelbagai bangsa. Ada Melayu, ada Cina, ada India, ada macam-macam. Tetapi masalahnya ialah, sikap kita sendiri masih “macam-macam”.
Kita tetap mahu sentiasa menilai sesuatu berdasarkan kepada bangsa. Di antara “orang kita” dan “bukan orang kita.”
Maka tidak hairanlah apabila kehadiran orang bukan Melayu di stadium untuk menyaksikan pasukan kebangsaan beraksi menjadi sesuatu yang “baru” sehingga wajar diraikan secara luar biasa.
Padahal ia sepatutnya sesuatu lumrah.
Perpaduan kita menjadi seperti sebutir permata yang hilang. Kita enggan untuk “jatuh cinta” dan tidak mahu “membuka hati untuk apa pun” atau “siapa pun”.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan yang selalu menikmati teh hijau panas.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/limyou2_392878.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.