Kemalangan 12 kenderaan: Pemandu lori positif dadah
Seorang pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan membabitkan 12 kenderaan di Shah Alam semalam didapati positif dadah jenis amfetamin dan metamfetamin.
Perkembangan ini hadir sehari selepas kerajaan mengumumkan rancangan untuk mewajibkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa mereka.
Ketua Polis Shah Alam, Sarudin Samah, berkata ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas pemandu berusia 51 tahun itu menunjukkan keputusan positif bagi kedua-dua jenis dadah tersebut.
"Lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya seperti dilaporkan Bernama.
Pemandu itu dijangka dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam hari ini bagi permohonan reman.
Menurut Sarudin, siasatan awal mendapati pemandu mendakwa lorinya mengalami masalah brek semasa menuruni bukit dari Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam pada kira-kira jam 4.20 petang semalam.
Lori itu kemudian terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh 11 kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat di simpang tiga Alam Budiman, di Persiaran Mokhtar Dahari.
Seorang lelaki berusia 58 tahun yang memandu kereta Subaru XV mengalami kecederaan parah di kepala dan sedang dirawat di zon merah Hospital UiTM Puncak Alam.
Isterinya yang berusia 53 tahun dan cucu lelaki mereka yang berusia 17 tahun, yang turut berada di dalam kenderaan itu, sedang menerima rawatan di hospital yang sama dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Seorang pemandu Perodua Myvi berusia 29 tahun turut mengalami kecederaan badan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Rakaman video yang menunjukkan sebuah lori bergerak melawan arus trafik sebelum merempuh beberapa kenderaan di persimpangan itu tular di media sosial semalam.
Pampasan untuk mangsa
Semalam, semasa pembentangan Belanjawan 2027 Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa pemandu yang menyebabkan kemudaratan ketika memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah akan diwajibkan membayar pampasan kepada mangsa.
Anwar berkata kerajaan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi memperkenalkan keperluan tersebut, memandangkan sebanyak 28 kes kematian yang melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah telah direkodkan sehingga Ogos tahun ini.
Anwar juga mengumumkan semalam bahawa sistem telematik akan diwajibkan bagi kenderaan perdagangan untuk memantau kelajuan, lokasi, dan tabiat pemanduan yang berisiko, termasuk melalui sistem pengesanan alkohol.
Sementara itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan baucar saringan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan bagi mengesan masalah kesihatan yang boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk memandu dengan selamat.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/968a9ecda9e5dbc8b64c552848fe5d59_306243.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.