Jerebu: Kes jangkitan saluran pernafasan, radang mata meningkat
Kes jangkitan saluran pernafasan atas meningkat 10.43 peratus, manakala kes konjunktivitis atau radang mata melonjak 26.47 peratus berdasarkan pemantauan penyakit berkaitan jerebu melalui 78 fasiliti kesihatan terpilih Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara.
KKM memaklumkan kes jangkitan saluran pernafasan atas meningkat daripada 3,509 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 39 kepada 3,875 kes pada ME40, iaitu peningkatan sebanyak 10.43 peratus.
Menurut KKM, kes konjunktivitis pula meningkat daripada 102 kepada 129 kes bagi tempoh sama, manakala kes asma menunjukkan penurunan sebanyak 13.64 peratus daripada 535 kepada 462 kes.
"KKM terus memperkukuh pemantauan penyakit berkaitan jerebu memandangkan pendedahan kepada udara tercemar boleh menjejaskan kesihatan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit paru-paru dan jantung," menurut kenyataan itu.
KKM turut mengambil maklum situasi jerebu yang sedang melanda beberapa kawasan di negara ini dengan 32 stesen pemantauan kualiti udara mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat (101 hingga 200) melibatkan lapan negeri dan dua Wilayah Persekutuan setakat 8 pagi tadi.
Sehubungan dengan itu, KKM menasihati orang ramai khususnya mereka yang berada di kawasan dengan bacaan IPU tidak sihat supaya mengambil langkah pencegahan antaranya elakkan atau tangguhkan aktiviti di luar bangunan, terutama bagi golongan lebih mudah terjejas akibat jerebu seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit paru-paru atau jantung.
Orang ramai turut dinasihatkan menggunakan pelitup muka yang sesuai seperti N95 sekiranya perlu berada di luar dalam keadaan berjerebu dan perlahankan kenderaan atau berhenti di tempat yang selamat sekiranya jarak penglihatan terhad.
KKM turut menasihati orang ramai agar semak bacaan IPU secara berkala melalui saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan ambil langkah pencegahan yang bersesuaian mengikut tahap kualiti udara di kawasan masing-masing.
"KKM menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada, mengurangkan pendedahan kepada jerebu dan mengutamakan kesihatan diri serta keluarga," menurut kenyataan itu.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/jerebu12_852676.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.