Wan Saiful gesa wujudkan dana pampasan jerebu, siasat syarikat Malaysia
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, menggesa Putrajaya menyiasat syarikat-syarikat Malaysia yang didakwa mempunyai kaitan dengan kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia serta mewujudkan dana pampasan khas untuk mangsa jerebu.
Naib Presiden Parti Wawasan Negara itu berkata kerajaan harus memandang serius dapatan Greenpeace pada 5 Oktober yang mengaitkan entiti korporat Malaysia dengan kebakaran di Indonesia.
"Kerajaan perlu menjalankan siasatan segera, telus dan menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab serta menentukan kaitan mereka dengan krisis jerebu rentas sempadan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Saiful mencadangkan supaya syarikat yang didapati bertanggungjawab membiayai dana pampasan bagi menampung kos penjagaan kesihatan, pemulihan alam sekitar dan kerugian lain yang terbukti dialami oleh mereka yang terjejas akibat jerebu.
"Rakyat tidak sepatutnya terus menanggung sendiri kos akibat pencemaran yang bukan berpunca daripada tindakan mereka, sedangkan syarikat-syarikat terkait terus untung berjuta-juta," tambahnya.
Dia juga menggesa rakyat Malaysia yang terjejas dan pertubuhan masyarakat sivil untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap syarikat yang terbukti bertanggungjawab, sambil menegaskan bahawa sebarang tindakan mestilah berdasarkan bukti dan dilakukan melalui saluran yang sah.
"Jerebu bukan perayaan tahunan yang perlu kita terima sebagai perkara biasa," tegasnya.
Gesaan ini dibuat ketika kebakaran hutan dan tanah terus menjejaskan beberapa kawasan di Indonesia, dengan 437 titik panas (hotspot) berstatus keyakinan tinggi dikesan di seluruh negara itu semalam.
Menurut Kementerian Perhutanan Indonesia, beberapa kawasan di Kalimantan Tengah, Sumatera Selatan dan Jambi masih mencatatkan kualiti udara pada tahap sangat tidak sihat hingga berbahaya.
Kalimantan Tengah mencatatkan 122 titik panas setakat jam 9 malam semalam, manakala Sumatera Selatan mencatatkan 107 dan Jambi 15.
Indonesia juga telah mengerahkan 61 pesawat untuk operasi memadam kebakaran, rondaan dan pengubahsuaian cuaca, termasuk 44 pesawat pengebom air.
Pada 5 Oktober, Greenpeace Indonesia dan Malaysia, bersama Pantau Gambut, menyatakan bahawa kumpulan perladangan Malaysia, Kuala Lumpur Kepong (KLK), adalah antara kumpulan korporat yang dikaitkan dengan kawasan konsesi di mana aktiviti berkaitan kebakaran telah dikenal pasti di Indonesia.
Kumpulan-kumpulan tersebut menyatakan bahawa 5,540 titik punca asap telah dikesan antara 8 Ogos dan 20 September, termasuk 859 titik di dalam 115 kawasan konsesi perhutanan dan 774 titik lagi di dalam 210 kawasan konsesi kelapa sawit.
Greenpeace telah menggesa supaya akauntabiliti korporat rentas sempadan diperkukuh, termasuk pelaksanaan siasatan di Malaysia terhadap syarikat-syarikat tempatan yang dikaitkan dengan kebakaran di Indonesia.
Gesaan Wan Saiful itu juga dibuat ketika berlakunya tindakan undang-undang terhadap kerajaan Indonesia berhubung cara pengendalian krisis kebakaran dan jerebu semasa.
Satu gabungan kumpulan masyarakat orang asal dan masyarakat sivil di Kalimantan Barat telah memfailkan saman tindakan kelas (class-action suit) bulan lalu terhadap Presiden Prabowo Subianto dan pegawai-pegawai kanan lain, dengan mendakwa kerajaan bersikap cuai dalam usaha mencegah serta menangani kebakaran hutan yang kerap berlaku.
Antara tuntutan plaintif ialah langkah mitigasi yang lebih tegas, penjagaan kesihatan percuma untuk penduduk yang terdedah kepada risiko, serta tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Perbicaraan pertama di Mahkamah Daerah Pontianak pada 7 Oktober telah ditangguhkan ke 21 Oktober selepas pihak defendan daripada kerajaan gagal hadir.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/b5cbe2297f5f23dfd96999d31e059cef.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.