Sekumpulan pemimpin dan ahli akar umbi Melayu dari DAP tampil mengingatkan bekas timbalan pengarah komunikasi strategik BN Eric See-To bahawa kebebasan bersuara bukan tiket untuk menghina dan mempermainkan perkara yang dianggap suci oleh mana-mana penganut agama.

Mereka merujuk kepada kepada kenyataan See-To ketika mengulas perkataan "lighad" yang digunakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan semalam.

"Tulisan beliau adalah suatu penghinaan terhadap ayat suci al-Quran dan tidak boleh dilihat sekadar bahan jenaka atau permainan kata-kata.

"Mengaitkan ayat al-Quran dengan perkataan berkonotasi seksual merupakan tindakan yang sangat tidak sensitif dan telah menyinggung perasaan umat Islam," kata kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh 13 ahli akar umbi dan pemimpin Melayu DAP itu.

See-To yang juga dikenali sebagai Lim Sian See sebelum ini menyorot perkataan "lighad" yang menjadi sebahagian daripada ayat ke-18 surah al-Hashr, yang digunakan Anwar semalam.

See-To kemudian membuat komen: “Yang saya tengok ialah ada lighad yang saya tak tahu langsung apa (maksudnya) itu. Tapi tak ada ‘liwat’ pula.”

Tangkap layar komen See-To itu kemudian tular di media sosial.

Menjelaskan tindakannya itu melalui hantaran lain See-To berkata dia tidak mengina al-Quran sebaliknya komen tersebut merujuk kepada istilah "lighad" yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian sebagai antara perkataan unik dalam ucapan Anwar semalam.

“Dalam konteks itu, saya mengulas penggunaan perkataan, bukannya memperlekeh ayat suci.

“Sesuatu perkataan (dari) bahasa Arab tidak menjadi istilah khusus agama semata-mata kerana perkataan itu turut digunakan dalam al-Quran,” katanya.

Dia kemudian menyalahkan Anwar kerana menggunakan istilah berkenaan.

“Siapa suruh PMX (Anwar) guna perkataan yang ramai orang awam tak faham dalam ucapan bajet (belanjawan)?

“Kalau maksudnya ‘untuk masa depan’, sebut sajalah ‘untuk masa depan. Bajet untuk rakyat faham,” katanya.

Dia juga menjelaskan bahawa dia tidak meletakkan petikan ayat al-Quran bersama komen itu atau pun dalam hantarannya.

"Petikan tersebut ditambah oleh ceplos, kemudian digabungkan dengan tangkap layar komen saya dan disiarkan di page mereka untuk memberi gambaran bahawa saya buat komen tentang ayat al-Quran.

"Bukan saya yang menyusun atau menyiarkan gabungan itu," katanya.

Sementara itu, kumpulan pemimpin dan ahli akar umbi DAP mengingatkan bahawa seseorang tidak perlu menjadi Muslim untuk menghormati agama Islam.

Mereka menegaskan prinsip hormat-menghormati mesti terpakai kepada semua agama, tanpa pilih kasih.

"Jika kita mengharapkan orang lain menghormati kepercayaan kita, kita juga wajib menghormati kepercayaan mereka.

"Sikap ini turut terpakai kepada semua termasuk kepada para penyokong dan peminat Eric See-To," kata mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Muhammad Shakir Ameer Mohideen (Pengerusi DAP Cawangan Setia Impian, Shah Alam), Edry Faizal (Ahli DAP Cawangan Alam Jaya), Farhan Haziq (Pengerusi DAP Bandar Baru Bangi), Abdul Majid Abd Aziz (Setiausaha DAP Cawangan Pekan Paloh), Nor Miswary Ramli (Pengerusi DAP Cawangan Pusat Bandar Shah Alam), Shukri Mokhtar (Ahli DAP Kampung Baru Bt 9 Cheras), Muhammad Najib Anuar (Ahli DAP Taman Kemuncak), Muhammad Muzamir Abdul Rahman (Ahli DAP Taman Kemuncak), Izzul Afiq (Setiausaha DAP Caw Taman Kemuncak), Mohd Aslam Ahmad Ramli (Pengerusi DAP Cawangan Kampung Tunku SS1), Muhammad Nurhadi (Ahli DAP Bandar Baru Bangi), Nur Rahim Nasir (Naib Ketua Pemuda DAP Selangor), Azfar Faruqi Mohamad Idris (Ahli DAP Cawangan Taman Seroja).

Terdahulu Ketua Pemuda DAP Dr Akmal Salleh menyifatkan kenyataan See-To sebagai “bangang” dan berpendapat perselisihan politik tidak wajar melampau sehingga ke tahap itu.

Selain menggesa See-To memohon maaf, Akmal berkata pihaknya akan membuat laporan polis mengenai perkara itu.