dikemaskini Ratusan anggota Pemuda PAS akan mengedarkan risalah dakwah kepada pengunjung konsert penyanyi punk pop Avril Lavigne di Stadium Merdeka, Jumaat ini.

avril lavigne Timbalan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dijadual mengetuai lebih 500 ahli dewan itu untuk mengedarkan lebih 10,000 risalah kepada pengunjung beragama Islam di konsert itu yang diadakan bersempena siri jelajah antarabangsa penyanyi itu di Asia Tenggara.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad memberitahu Malaysiakini , risalah nasihat tentang masalah sosial di kalangan remaja itu kini sedang dicetak.

"Risalah itu untuk mengajak kembali kepada fitrah Islam yang sebenarnya," katanya.

"Oleh kerana sekarang sudah dekat dengan (sambutan) kemerdekaan dan Ramadhan, apa yang perlu dibuat oleh remaja (untuk dimuatkan dalam risalah)."

Risalah itu turut memasukkan makna ayat-ayat al-Quran, hadis dan nasihat ulama.

Beliau juga menjelaskan pihaknya tidak bercadang mengadakan demontrasi di stadium tersebut.

"Tindakan itu tidak bijak, pendekatan itu tidak sesuai," kata Kamaruzaman.

Menurutnya, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan menghantar memorandum kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bagi membantah konsert tersebut jam 10 pagi esok.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini telah menyerahkan memorandum bantahan kepada Pusat Setempat Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) di kementerian itu.

Pemuda PAS dan Gamis paling lantang membantah konsert ini sejak awal Ogos sehingga kementerian bercadang menangguhkannya ke suatu tarikh lain.

Bagaimanapun kementerian berkenaan mengambil sikap meneruskan semula rancangan asal persembahan itu, yang dijadual jam 9 malam 29 Ogos, hujung minggu lalu.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini