'Biar Ismail buat kerja sebagai MB, saya buat kerja sebagai ketua Umno N Sembilan'
Tidak ada sebab, kata Jalaluddin Alias, untuk dia menggerakkan usaha menjatuhkan Ismail Lasim dari jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan melalui usul undi tidak percaya dalam sidang DUN mendatang.
Malah Pengerusi Umno Negeri Sembilan itu dilaporkan meminta semua pihak memberikan ruang kepada Ismail menjalankan tugas sebagai menteri besar.
Jalaluddin sendiri, katanya, akan terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin Umno Negeri Sembilan.
Kata Jalaluddin, tiada sebarang perancangan atau perbincangan dalam kalangan Umno negeri tersebut untuk mengetepikan Ismail, malah tiada sebarang sebab untuknya berbuat demikian.
“Setakat ini, kita (Umno Negeri Sembilan) tidak ada masalah kepimpinan di Negeri Sembilan dengan menteri besar. Biar (Ismail) buat kerja beliau sebagai menteri besar, dan saya sebagai ketua parti akan buat kerja sebagai ketua parti.
“Kita banyak lagi perancangan dan agenda untuk kepentingan negeri serta masyarakat yang perlu kita selesaikan,” katanya seperti dilaporkan portal berita FMT hari ini.
Krisis kepimpinan Negeri Sembilan belum menampakkan sebarang tanda akan terungkai ketika ini dengan pelbagai pihak membuat spekulasi mengenai kedudukan Ismail selaku menteri besar.
Sebelum ini Jalaluddin yang juga Adun Pertang disebut-sebut akan dilantik sebagai menteri besar selepas PRN yang berlangsung pada 1 Ogos lalu.
Bagaimanapun dengan dilatari isu pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Ismail dilantik pihak istana menjadi menteri besar.
Pun begitu pentadbiran Adun Juasseh itu tidak berjalan lancar apabila berlaku pula isu keabsahan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta keberadaan barisan exco Negeri Sembilan.
DUN Negeri Sembilan dijadual bersidang pada 26 Nov ini selepas ditangguhkan untuk membolehkan penyelarasan dibuat bagi pembentangan belanjawan negeri sehari kemudian.
Pada masa sama muncul dakwaan mengatakan Umno Negeri Sembilan sedang melihat kemungkinan membawa usul undi tidak percaya terhadap Ismail. Kononnya usul itu akan dibawa sendiri oleh Jalaluddin.
Menjelaskan situasi semasa, Jalaluddin berkata pentadbiran kerajaan negeri sedang berjalan lancar.
Mengulas dakwaan usul ke atas Ismail, Jalaluddin memberitahu: “Sama sekali tidak betul.”
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/498f6f15d62d5326e9fd52326db59841.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.