Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata tiada alasan untuk kerajaan Negeri Sembilan melengahkan pelantikan anggota exco baru sehingga memanjangkan kebuntuan politik di negeri itu.

Katanya, BN masih menguasai majoriti dalam DUN, manakala Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir juga telah meminta Menteri Besar Ismail Lasim mengemukakan nama baru bagi menggantikan anggota exco yang dibatalkan pelantikan mereka.

“Jadi hari ini memang sesuatu yang pelik apabila kerajaan negeri hanya mempunyai seorang menteri besar dan tiada ahli-ahli exco.

“Sudah tentu pentadbiran tidak dapat berjalan dengan sempurna kerana banyak keputusan dan juga hal-hal pentadbiran perlu diluluskan melalui majlis mesyuarat kerajaan negeri,” kata Loke ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan ke-24 di Seremban.

Ketiadaan exco menimbulkan kebimbangan terhadap pentadbiran negeri ketika ketidaktentuan politik di Negeri Sembilan berterusan.

Mesyuarat exco menjadi saluran utama untuk membuat keputusan mengenai pembangunan dan urusan pentadbiran negeri. Anggota exco mengetuai portfolio masing-masing serta membantu merangka dasar, melaksanakan rancangan pembangunan dan mengurus hal ehwal seperti tanah, kerajaan tempatan dan infrastruktur.

Oleh itu, ketiadaan mereka boleh menjejaskan keupayaan kerajaan negeri membuat keputusan dan menjalankan fungsinya.

Namun, Ismail mengutamakan pelantikan ketua kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, bukannya menyelesaikan krisis exco.

Ismail berkata pentadbiran negeri masih berjalan lancar meskipun tanpa 10 anggota exco dan perkara itu boleh ditangani kemudian.

Krisis politik itu bermula selepas 10 anggota exco mengiktiraf proklamasi yang mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baru.

Sebagai tindak balas, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 anggota exco itu kerana mereka didakwa mengingkari taat setia, serta meminta Ismail mengemukakan nama baru untuk mendapat perkenan baginda.

Anggota exco yang dipecat itu kemudian memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mencabar kesahan warta yang membatalkan pelantikan mereka.

Mereka berhujah pembatalan itu dibuat tanpa nasihat Ismail, yang menurut mereka diperlukan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Sementara itu, dalam ucapannya pada konvensyen berkenaan, Loke menggesa DAP Negeri Sembilan bersiap sedia menghadapi kemungkinan pilihan raya di tengah-tengah ketidaktentuan di negeri itu.

Katanya, keadaan masih sukar dijangka meskipun tarikh baru telah ditetapkan untuk persidangan DUN seterusnya, dan parti itu mesti bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Walaupun berdepan pelbagai tuduhan ... hakikatnya DAP tak campur tangan dalam pergolakan di Negeri Sembilan. Kita akan terus fokus melakukan kerja kita dan memantau perkembangan situasi,” kata Loke.