Mulai Khamis lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) menurunkan paras ambang pencemaran udara bagi penutupan sekolah sepanjang musim jerebu ketika ini, dengan jabatan pendidikan negeri ditugaskan memantau laporan kualiti udara dan menentukan sekolah yang perlu ditutup.

Langkah itu menyusuli titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya sekolah di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 150 hingga 180 untuk tempoh berpanjangan ditutup.

Berikut senarai daerah yang akan menutup sekolah esok dan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), serta daerah yang akan menyambung semula pembelajaran secara bersemuka.

Sekolah ditutup

Johor: Semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negeri ditutup dari 12 ke 16 Oktober.

Selangor: Sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Gombak dan Petaling Perdana ditutup.

Kuala Lumpur/Putrajaya: Sekolah di bawah PPD Bangsar/Pudu ditutup.

Sekolah dibuka semula atau beroperasi seperti biasa

Melaka: Semua institusi pendidikan di bawah KPM dibuka semula.

Negeri Sembilan: Semua institusi pendidikan di bawah jabatan pendidikan negeri beroperasi seperti biasa.

Perak: Semua institusi pendidikan di bawah jabatan pendidikan negeri beroperasi seperti biasa, termasuk sekolah di bawah PPD Kinta Utara, Kinta Selatan dan Kuala Kangsar yang dibuka semula.

Sekolah di Kedah, Kelantan, Terengganu, Perlis, Pulau Pinang, Pahang, Sabah, Sarawak dan Labuan juga beroperasi seperti biasa.

Ibu bapa dinasihatkan memantau pengumuman rasmi KPM dan jabatan pendidikan negeri masing-masing kerana ketetapan operasi sekolah boleh berubah mengikut bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan arahan lanjut pihak berkuasa.

Sekolah akan ditutup jika bacaan IPU yang direkodkan Jabatan Alam Sekitar melebihi 180, atau melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut.

Sebelum ini, ambang bacaan IPU bagi penutupan sekolah ialah 200.