Chery Malaysia panggil semula Omada 5 varian C dan H
Chery Malaysia melaksanakan kempen panggil semula bagi kenderaan model Omoda 5 (varian C dan H) susulan insiden di Johor apabila gandar belakang sebuah kereta berkenaan tercabut ketika sedang dipandu di jalan raya.
Chery berkata, proses memanggil semula kenderaaan itu akan melibatkan pemeriksaan dan penggantian komponen terkesan sekiranya perlu.
Syarikat itu turut menggalakkan mana-mana pemilik kenderaan Omada 5 mengunjungi pusat servis sah Cherry, dengan pasukan teknikal disediakan untuk membantu mereka.
“Chery Auto Malaysia dengan rendah hati memohon kemaafan daripada seluruh pihak yang terkesan. Keselamatan dan kesejahteraan pelanggan kami sentiasa menjadi keutamaan tertinggi,” menurut kenyataan syarikat itu malam tadi.
Kenyataan tersebut dikeluarkan beberapa jam selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengarahkan Chery supaya melaksanakan pemanggilan semula model kenderaan terbabit.
JPJ turut menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi model Omoda 5 keluaran pengeluar kereta dari China itu, sekali gus menghentikan pendaftaran baru model dan varian terlibat sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan dikenal pasti sepenuhnya.
Selain itu, JPJ akan melaksanakan audit teknikal yang merangkumi pematuhan amalan pengilangan yang baik, sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan serta tahap keselamatan komponen yang digunakan.
Penggantungan tersebut hanya akan ditarik balik setelah semua tindakan pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya
Ini bukan kali pertama Omoda 5 menjadi perhatian berkaitan gandar kenderaan terbabit.
Menurut laman web automotif popular, Paul Tan, insiden serupa yang melibatkan model sama berlaku dua tahun lalu, sekali gus mendorong Chery Malaysia mengeluarkan arahan panggil balik terhadap 600 unit kenderaan berkenaan.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/05/ef5192f77d90f2f8bb7d970883a4ba6a.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.