Pindaan RUU Adun lantikan: Wakil rakyat PH saman kerajaan Melaka
Anggota Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Anggota Parlimen Alor Gajah Adly Zahari mengemukakan saman terhadap kerajaan negeri Melaka kerana meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan penambahan sehingga tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan di negeri itu.
Khoo berkata, dia mengemukan saman tersebut atas kapasitinya sebagai seorang pengundi di Melaka, manakala Adly atas kapasiti sebagai Adun Bukit Katil ketika itu.
Katanya, saman berkenaan dibuat untuk mencabar usul pindaan enakmen itu yang didakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Kita harap mahkamah akan buat satu keputusan di mana kita melihat usul yang diluluskan pada 14 Julai tersebut adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 71(4) Perlembagaan Persekutuan di mana kalau dibaca bersama dengan Seksyen 4(1) Bahagian 1 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah batal dan tidak sah menurut Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media di Melaka hari ini.
Pada 14 Jul lalu, DUN Melaka meluluskan usul RUU Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan penambahan sehingga tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan di negeri itu.
Usul yang dibentangkan Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh itu disokong 23 Adun termasuk tiga wakil pembangkang, kecuali lima wakil PH yang tidak menyokong usul tersebut.
Perkara 71(4) adalah mengenai memberikan kuasa kepada Parlimen untuk menangani ketiadaan atau ketidakselarasan peruntukan wajib dalam Perlembagaan Negeri.
DUN Melaka dibubarkan pada 23 Sept lalu bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) yang dijadualkan berlangsung pada 14 Nov depan.
Seksyen 4(1), Bahagian I, Jadual Kelapan pula menetapkan bahawa DUN terdiri daripada ahli-ahli yang dipilih, dengan bilangan ditentukan melalui undang-undang badan perundangan negeri.
Khoo berkata, pihaknya hari ini menyerahkan notis saman ini kepada setiausaha kerajaan negeri dan juga kepada penasihat Undang-Undang Negeri Melaka dan meminta supaya mahkamah membuat satu keputusan bahawa usul ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan negeri.
Menurutnya saman itu difailkan pada 8 Okt selepas mendapati RUU tersebut diwartakan secara rasmi melalui laman web kerajaan negeri.
Justeru jelasnya tarikh saman difailkan itu tidak ada kena-mengena dengan PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Sejurus sebaik kita lihat warta dah dipaparkan dalam laman web rasmi mereka (kerajaan negeri), maka kita mulakan dengan tindakan mahkamah ini.
“Bukannya kerana pilihan raya tiba baru kita nak ambil tindakan ini, memang kita dah buat keputusan, memang kita nak ambil tindakan mahkamah, minta mahkamah buat satu keputusan sama ada ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak,” katanya yang juga pengerusi DAP Melaka.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/ecd12f2bc2317b6e4ee09cb3099bf8e7.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.