Iran tawar jadi pengantara rundingan Arab Saudi-Houthi ketika ketegangan memuncak
Iran menawarkan bantuan untuk memudah cara rundingan antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi di Yaman ketika ketegangan serantau semakin meningkat, lapor Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita rasmi Iran, IRNA, pada Ahad.
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi membuat tawaran itu ketika perbualan telefon dengan Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan.
Araghchi menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan yang semakin meningkat sambil memberi amaran bahawa kebergantungan berterusan kepada tindakan ketenteraan tanpa mempedulikan penyelesaian politik hanya akan merumitkan lagi keadaan.
Beliau menegaskan bahawa "tiada penyelesaian ketenteraan" bagi krisis yang sedang melanda rantau itu.
Araghchi berkata Iran bersedia memberikan "segala bantuan yang mungkin" bagi memulakan dialog antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi serta membantu mencapai penyelesaian politik, lapor IRNA.
Terdahulu pada Ahad, Kementerian Luar Arab Saudi memaklumkan bahawa kedua-dua menteri membincangkan "peningkatan ketegangan di rantau itu baru-baru ini serta usaha yang sedang dilakukan untuk menanganinya."
Kementerian itu memaklumkan bahawa panggilan telefon berkenaan dibuat atas inisiatif Araghchi, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Perbincangan itu berlangsung ketika ketegangan ketenteraan di rantau berkenaan semakin meningkat, termasuk serangan berulang kali oleh kumpulan Houthi ke atas lapangan terbang di Arab Saudi serta gangguan terhadap aktiviti perkapalan di Selat Hormuz.
Serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi, pada Sabtu mengorbankan 13 orang dan mencederakan ratusan yang lain.
Pada Ahad, pakatan diketuai Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa menuduh kumpulan Houthi melakukan serangan ke atas lapangan terbang itu dan berikrar untuk mengambil tindakan tegas.
Aktiviti perkapalan di Selat Hormuz turut terganggu susulan sekatan yang dikenakan Iran terhadap laluan kapal pada April selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada Februari.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/06/19296a05eba6f0f31ded695f8a8e9ae3.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.