Masa ketibaan ambulans gagal capai KPI, KKM tambah 400 unit baharu
PARLIMEN l Kementerian Kesihatan (KKM) yakin perolehan 400 ambulans baharu untuk hospital di bawah kementerian itu yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, dapat meningkatkan keupayaan respons kecemasan.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu penting bagi memperkukuh perkhidmatan ambulans, terutama dalam menangani kes kecemasan kritikal yang mengancam nyawa.
Beliau berkata kadar respons ambulans bagi kes kecemasan kritikal kategori keutamaan satu (Priority 1) di seluruh negara mencatat 34.01 peratus pada 2025, masih di bawah sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 50 peratus bagi ketibaan dalam tempoh kurang 15 minit.
“Analisis pencapaian ini dibuat secara sistematik oleh penjagaan prahospital dan juga perkhidmatan ambulans bagi memastikan respons kecemasan dapat dipertingkatkan. Saya bersama dengan Ketua Pengarah Kesihatan meneliti perkara ini kerana saya memerhatikan bahawa prestasi perkara ini yang belum dapat kita penuhi kerana sangat mencabar.
“Saya mahu tegaskan KKM juga sedang memperkukuh pengoperasian MERS 999 (Sistem Respons Kecemasan Malaysia 999), selain memantau prestasi pemindahan pesakit menerusi indikator khusus seperti masa pengaktifan ambulans,” katanya di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) tentang prosedur operasi standard (SOP) ambulans susulan isu kekurangan dan kelewatan ambulans hingga sejam bagi kes kemalangan di kawasan Parlimen berkenaan walaupun hanya 500 meter dari hospital.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027, Jumaat lepas mengumumkan peruntukan lebih RM770 juta bagi mempercepat diagnosis dan rawatan di fasiliti kesihatan, termasuk perolehan peralatan canggih dan moden serta perolehan 400 ambulans baharu.
Dzulkefly berkata pasukan paramedik di lapangan turut menerima panduan rawatan dan resusitasi secara masa nyata daripada pakar perubatan kecemasan bagi meningkatkan keberkesanan pengendalian kes kecemasan.
Menjawab soalan asal Jalaluddin mengenai akses kepada perkhidmatan pakar di kawasan luar bandar serta jurang perkhidmatan kesihatan antara bandar dengan luar bandar, beliau berkata KKM melaksanakan beberapa pendekatan, termasuk konsep hospital kluster yang membolehkan perkongsian sumber, kepakaran dan peralatan antara hospital.
Beliau berkata terdapat 43 hospital kluster di seluruh negara bagi membolehkan hospital utama membantu hospital yang tidak mempunyai perkhidmatan pakar, sekali gus memperluas akses kepada rawatan dan kepakaran perubatan.
KKM, katanya, turut memperluas perkhidmatan klinikal tertentu ke klinik kesihatan dan hospital tanpa pakar di luar bandar, khususnya bagi pengurusan penyakit kronik, saringan awal serta kesinambungan rawatan pesakit.
Dzulkefly berkata akses kepada pembedahan di kawasan luar bandar turut dipertingkatkan menerusi inisiatif pembedahan global, yang membolehkan pakar melawat hospital tanpa pakar untuk melaksanakan prosedur seperti pembedahan katarak dan hernia.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/04/c210fac81cc9c9b761b346c10d82b67e.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.