Naib Ketua Pemuda PKR (AMK) Wilayah Persekutuan, Jeremy Ang, menggesa Kerajaan mempercepatkan penggubalan ‘Lemon Law’ Automotif yang jelas, menyeluruh dan berkesan susulan insiden gandar sebuah kereta tercabut ketika dipandu baru-baru ini.

"Pengguna yang membeli kenderaan melalui pembiayaan sewa beli jangka panjang masih perlu memenuhi komitmen kewangan mereka meskipun kenderaan terpaksa dihantar untuk pemeriksaan atau pembaikan.

"Pada masa yang sama, mereka mungkin perlu menanggung kos pengangkutan alternatif serta menghadapi gangguan terhadap urusan harian,

"Oleh itu, ‘Lemon Law’ tidak seharusnya ditangguhkan," katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Terdahulu tular insiden membabitkan sebuah kereta model Chery Omada 5 apabila gandar belakang kenderaan terbabit tercabut ketika dipandu.

Insiden itu menyebabkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi model Omoda 5

sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan dikenal pasti sepenuhnya.

Mengulas lanjut, Ang berkata, ‘Lemon Law’ tidak seharusnya ditangguhkan dan pindaan tersebut wajar merangkumi sekurang-kurangnya empat perlindungan utama.

"Memberikan hak kepada pengguna untuk mendapatkan pembelian semula, penggantian kenderaan atau pemulangan wang yang sewajarnya apabila kenderaan mengalami kecacatan keselamatan yang serius atau masalah berulang yang gagal diselesaikan selepas beberapa percubaan pembaikan dalam tempoh yang munasabah.

"Mekanisme ini juga perlu diselaraskan dengan institusi pembiayaan supaya baki pembiayaan, pemilikan kenderaan dan pembayaran balik kepada pengguna dapat diselesaikan secara jelas dan adil," jelasnya.

Kedua, Ang menggesa kajian semula dan had tuntutan semasa Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dinaikkan sebanyak RM50,000, supaya tribunal dapat mengendalikan tuntutan yang melibatkan nilai sebenar sesebuah kenderaan baharu.

Ketiga dia menggesa supaya diwujudkan kerangka kerjasama antara Kerajaan, pihak berkuasa berkaitan dan institusi kewangan bagi menyediakan penangguhan atau penyusunan semula bayaran sewa beli tanpa penalti yang tidak munasabah apabila sesebuah kenderaan tidak dapat digunakan untuk tempoh yang panjang akibat siasatan keselamatan.

Dia juga mencadangkan supaya pengeluar atau pengedar diwajibkan menyediakan kenderaan ganti, kemudahan pengangkutan alternatif atau elaun mobiliti yang munasabah sepanjang tempoh pemeriksaan dan pembaikan apabila kenderaan tidak dapat digunakan akibat kecacatan.

"Rakyat Malaysia termasuk golongan belia dan keluarga yang bergantung pada kenderaan untuk bekerja serta menguruskan keperluan harian, tidak seharusnya menanggung keseluruhan beban kewangan akibat kecacatan produk atau kelemahan kawalan kualiti yang berada di luar kawalan mereka.

"Keselamatan, mobiliti dan hak pengguna mesti dilindungi melalui perundangan yang jelas, tegas dan berkesan, di samping memastikan pengeluar dan pengedar memikul tanggungjawab yang sewajarnya," ujarnya.

Semalam Chery Malaysia dalam kenyataannya memanggil semula kenderaan model Omoda 5 (varian C dan H) dengan mengatakan proses itu akan melibatkan pemeriksaan dan penggantian komponen terkesan sekiranya perlu.

Syarikat itu turut menggalakkan mana-mana pemilik kenderaan Omada 5 mengunjungi pusat servis sah Cherry, dengan pasukan teknikal disediakan untuk membantu mereka.

“Chery Auto Malaysia dengan rendah hati memohon kemaafan daripada seluruh pihak yang terkesan. Keselamatan dan kesejahteraan pelanggan kami sentiasa menjadi keutamaan tertinggi,” menurut kenyataan syarikat itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan beberapa jam selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengarahkan Chery supaya melaksanakan pemanggilan semula model kenderaan terbabit.

Menurut laman web automotif popular, Paul Tan, insiden serupa yang melibatkan model sama berlaku dua tahun lalu, sekali gus mendorong Chery Malaysia mengeluarkan arahan panggil balik terhadap 600 unit kenderaan berkenaan.