Bantuan atau “gula-gula” yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 tidak akan menentukan sokongan atau pilihan rakyat pada masa depan.

Sebaliknya Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata rakyat akan menilai berdasarkan realiti kos sara hidup yang ditanggung setiap hari.

Menurut anggota Parlimen Larut - PN itu, kerajaan perlu mengukur keadaan ekonomi berdasarkan kemampuan rakyat menyediakan makanan, mempunyai wang untuk berbelanja dan mendapatkan tempat tinggal, bukan sekadar bergantung pada angka pertumbuhan ekonomi atau inflasi.

“Realiti sebenarnya hari ini ialah harga barang tidak turun selepas kenaikan berlaku. Sebaliknya, harga hanya meningkat pada kadar yang lebih perlahan.

“Malah, bagi kebanyakan barangan keperluan harian, harganya masih melambung tinggi,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Hamzah turut menyindir kegagalan kerajaan mendapatkan maklum balas mengenai keadaan sebenar kehidupan rakyat akan memudahkan pembangkang berkempen pada pilihan raya akan datang.

“Insya-Allah, saya yakin jika kita bertanya kepada rakyat dengan cara sedemikian, tidak kira berapa banyak pun bantuan atau gula-gula yang diberikan, rakyat tahu siapa pemimpin yang patut mereka pilih pada masa hadapan.

“Tapi kalau tak tanya, bagus juga supaya kami lebih mudah untuk kempen pilihan raya nanti,” katanya.

Hamzah berkata ukuran sebenar keadaan ekonomi perlu mengambil kira kemampuan rakyat memenuhi tiga keperluan asas, iaitu makanan (food on the table), wang untuk berbelanja (money in the pocket) dan tempat tinggal (shelter).

Katanya, kerajaan perlu menilai baki wang yang dimiliki rakyat selepas mereka membayar perbelanjaan harian seperti makanan, sewa rumah, pendidikan, pengangkutan dan bil utiliti.

Dia turut mengakui bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Jualan Rahmah dapat membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, namun mempersoalkan sama ada langkah itu mencukupi untuk menangani masalah berkenaan secara berterusan.

Dalam ucapannya, Hamzah turut membangkitkan kebimbangan bahawa kerajaan seterusnya akan berdepan pelbagai masalah ekonomi sekiranya pentadbiran semasa gagal merancang pembangunan strategik untuk jangka panjang.

Katanya, dia mempersoalkan ketiadaan projek pembangunan berimpak besar selepas hampir lima tahun pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang boleh menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh daya tahan negara menghadapi cabaran masa depan.

“Saya risau kerajaan yang akan datang yang akan mengambil alih kerajaan ini akan tersempit atau terhimpit dengan banyak macam masalah kerana tidak nampak langsung sesuatu yang boleh memberikan kelegaan, keselesaan untuk masa depan,” katanya.

Hamzah berkata bantuan segera kepada rakyat perlu disertai pembangunan ekonomi yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan menjana kekayaan negara dalam jangka panjang.

Dia turut membangkitkan peruntukan pembangunan sebanyak RM83 bilion dalam Belanjawan 2027, yang menurutnya masih di bawah komitmen kerajaan untuk menyediakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi tujuan itu.

Menurutnya, kegagalan melaksanakan pembangunan strategik berisiko menyebabkan kerajaan akan datang mewarisi beban ekonomi tanpa asas pertumbuhan yang mencukupi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menjamin kemakmuran generasi seterusnya.