Loke nafi adakan pertemuan dengan AirAsia
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menafikan bahawa kementerian itu mengadakan pertemuan dengan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia baru-baru ini.
Penafian itu dibuat susulan laporan bahawa pengasas bersama AirAsia, Tony Fernandes, telah bertemu pegawai Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan bagi membincangkan perkara berkaitan industri penerbangan.
Ketika ditanya mengenai perkara itu, Loke berkata dia tidak mengetahui sebarang perbincangan sedemikian melibatkan kementeriannya.
Dia turut mengesahkan tiada sebarang pertemuan diadakan dengan pihak AirAsia sejak beberapa minggu lalu.
"Mungkin mereka ada perbincangan dengan kementerian kewangan. Syarikat-syarikat penerbangan ini memang ada meeting berkala dengan kerajaan. Tapi baru-baru ini kalau, dalam dua, tiga minggu ni, tak ada apa-apa perjumpaan dengan pihak Airasia dan tak ada apa-apa perjanjian,” katanya pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini.
Dalam laporan Reuters hari ini, Fernandes mengesahkan telah bertemu pegawai Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan dua minggu lalu atas permintaannya sendiri.
/file/attachments/orphans/New-Big-Picture-template-121026-14_750814.jpg)
Bagaimanapun, dia berkata perbincangan itu tertumpu pada kos berkaitan penerbangan, termasuk caj lapangan terbang dan bahan api.
Fernandes menafikan bahawa dia meminta bantuan kewangan daripada kerajaan atau ditawarkan bantuan sedemikian. Namun, dia berkata tindakan menolak bantuan sekiranya ditawarkan merupakan sesuatu yang “tidak bijak”.
AirAsia dilaporkan berdepan tekanan kewangan susulan kenaikan mendadak kos bahan api pesawat dan sedang berusaha mendapatkan RM1 bilion daripada pasaran hutang antarabangsa serta kemudahan kredit tempatan berjumlah RM700 juta.
Bagaimanapun, Reuters turut memetik sumber dalam laporannya yang mendakwa bahawa Fernandes telah membincangkan kemungkinan kerajaan menyokong usaha pengumpulan dana syarikat penerbangan itu, tertakluk pada syarat tertentu yang tidak diperincikan.
Dalam perkembangan berasingan, Loke menggariskan beberapa inisiatif di bawah Belanjawan 2027 bagi menambah baik perkhidmatan pengangkutan di seluruh negara, termasuk pas MyKomuter50 dan sistem telematik untuk kenderaan komersial.
Pas MyKomuter50 yang dijadualkan dilancarkan menjelang akhir tahun ini akan membolehkan warganegara Malaysia menikmati perjalanan tanpa had menggunakan perkhidmatan KTM Komuter selama 30 hari.
Sementara itu, kerajaan sedang melaksanakan sistem telematik untuk kenderaan komersial, yang menggunakan teknologi bagi memantau tingkah laku dan keadaan fizikal pemandu ketika memandu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/10/3122307f10d413efd177612a8e79dd80.jpg)
Sistem itu akan memantau pergerakan mata, corak membrek dan memecut, kadar denyutan jantung serta keputusan ujian alat pengesan alkohol bagi mengenal pasti sama ada pemandu berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
"Apa sahaja hukuman yang lebih berat kita buat, ia tak boleh pun cegah. Kita nak cegah, bukan sahaja hukuman. Tetapi nak cegah dari segi punca,” katanya.
Loke berkata sistem berkenaan belum diwajibkan dan akan dilaksanakan secara berperingkat. Kerajaan juga telah menghubungi beberapa pembekal untuk mendapatkan akreditasi bagi pemasangan sistem itu.
Bagi sektor pengangkutan maritim, Loke berkata pengecualian cukai untuk syarikat perkapalan Malaysia akan dilanjutkan kepada tempoh 10 tahun bagi menggalakkan lebih ramai pemilik kapal mendaftarkan kapal mereka di negara ini dan bukan negara asing.
Sementara itu, duti setem bagi pembinaan kapal, pembelian kapal dan pembiayaan berkaitan akan ditetapkan pada kadar RM2,000 bagi urus niaga bernilai kurang daripada RM100 juta, manakala urus niaga melebihi jumlah itu akan dikenakan duti setem sebanyak RM5,000.
Kadar baru itu akan menggantikan kadar terdahulu sebanyak 0.5 peratus.
Lapor komen ini
/file/attachments/886/4e4d24faf7a2cbd63a998687e1c5e648_619394.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.