Dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) Melaka mengemukakan saman terhadap kerajaan negeri bagi mencabar Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 (Enakmen A44) berkaitan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara lantikan yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 14 Julai lepas.

Saman berkenaan dikemukakan dua plaintif iaitu Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong atas kapasiti sebagai pengundi berdaftar di Melaka dan Pengerusi PH Melaka yang juga Adun Bukit Katil Adly Zahari manakala Kerajaan Negeri Melaka dinamakan sebagai defendan.

Notis saman tersebut diserahkan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dan Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri hari ini selepas ia difailkan di Mahkamah Tinggi Melaka pada Khamis lepas (8 Okt).

Ketika ditemui pemberita hari ini, Khoo berkata tindakan DUN Melaka meluluskan enakmen itu yang diwartakan pada 27 Ogos lepas tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 71(4) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Seksyen 4(1), Bahagian I, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu adalah batal dan tidak sah menurut Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon agar satu deklarasi bahawa enakmen tersebut adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Struktur Asas Perlembagaan Negeri Melaka dan oleh itu adalah batal dan tidak sah menurut Perkara 27 Perlembagaan Negeri Melaka.

“Selain itu, kita juga memohon satu deklarasi bahawa enakmen berkenaan adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Struktur Asas Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah batal dan tidak sah menurut Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau turut mendakwa tindakan DUN Melaka meluluskan enakmen tersebut juga menghakis hak demokrasi pengundi apabila ADUN lantikan tersebut boleh dilantik tanpa melalui pilihan raya.

"Hanya Ketua Menteri sahaja yang akan buat keputusan siapa yang boleh jadi ADUN lantikan dan bila-bila masa selepas lantikan tersebut, Ketua Menteri boleh lucutkan kelayakan ADUN lantikan tersebut.

"Jadi kita lihat perkara ini menghakis hak demokrasi kita, hak rakyat, hak pengundi...ia bercanggah dengan demokrasi," katanya.

Pada 14 Julai lepas, DUN Melaka meluluskan pindaan terhadap Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi membolehkan pelantikan tidak melebihi tujuh ADUN lantikan.

Rang undang-undang berkenaan diluluskan selepas memperoleh sokongan 23 ADUN, manakala lima lagi tidak menyokong.

- Bernama