Kerajaan Sarawak bentang belanjawan sebanyak RM14.84 bilion
Kerajaan Negeri Sarawak mengumumkan belanjawan sebanyak RM14.84 bilion untuk 2027, dengan tema ‘Bersama Membina Kemakmuran dan Menjamin Masa Hadapan Kita’.
Belanjawan itu dibentangkan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM5.74 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM5.09 bilion adalah bagi Akaun Kumpulan Wang Pembangunan untuk mengukuhkan baki dibawa ke hadapan, bagi memastikan pembiayaan yang mencukupi untuk Perbelanjaan Pembangunan 2027 yang dianggarkan sebanyak RM10.09 bilion.
“Kita juga akan memperuntukkan RM300 juta untuk Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak tahun depan bagi memastikan sebahagian daripada hasil pendapatan kita dipelihara untuk manfaat generasi akan datang,” kata Abang Johari.
Beliau berkata daripada RM5.74 bilion yang diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, sebanyak RM1.42 bilion atau 25 peratus dikhususkan bagi emolumen kakitangan, manakala RM2.02 bilion atau 35 peratus adalah untuk pembekalan dan perkhidmatan.
“Sebanyak RM1.97 bilion lagi atau 34 peratus diperuntukkan untuk geran dan bayaran tetap, termasuk geran operasi kepada badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan, pembayaran khidmat hutang awam, ganjaran, pencen, biasiswa serta bantuan kewangan dan kebajikan,” katanya.
Daripada baki itu, sebanyak RM134 juta diperuntukkan untuk perolehan aset dan RM192 juta bagi perbelanjaan mengurus yang lain, katanya.
Abang Johari berkata peruntukan RM10.09 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan Sarawak 2027 menunjukkan peningkatan sebanyak RM826 juta atau sembilan peratus berbanding anggaran asal perbelanjaan pembangunan pada tahun ini.
“Ini merupakan antara belanjawan pembangunan tertinggi, mencerminkan komitmen teguh kami untuk memenuhi dan merealisasikan keperluan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari berkata hasil pendapatan untuk 2027 diunjurkan mencecah RM15.09 bilion, meningkat RM2.04 bilion atau 16 peratus berbanding anggaran RM13.04 bilion bagi 2026.
“Pencapaian ini sememangnya menandakan hasil tertinggi yang pernah dicatatkan oleh negeri. Ini bukan sekadar satu statistik. Ia mewakili peningkatan lebih dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun berbanding hasil RM6.86 bilion pada 2017.
“Dengan hasil yang diunjurkan berjumlah RM15.09 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa sebanyak RM14.84 bilion, Belanjawan Sarawak 2027 dijangka mencatatkan lebihan sebanyak RM246 juta,” katanya.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/3c618e5012b6603c919dda10765ba5a8.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.