Tuanku Muhriz dijemput ke mesyuarat Majlis Raja-Raja - Laporan
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung dari 13 hingga 15 Oktober, sekali gus menunjukkan baginda kekal menduduki takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Jemputan itu dibuat oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, yang akan mempengerusikan persidangan berkenaan di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Menurut laporan The Straits Times Singapura, perkembangan itu berlaku ketika kemelut pewarisan takhta diraja Negeri Sembilan masih belum menemui penyelesaian.
Laporan itu mendakwa Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar tidak dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan walaupun beberapa usaha telah dilakukan untuk mendapatkan jemputan bagi menggantikan Tuanku Muhriz.
Usaha itu dikatakan melibatkan Undang Yang Empat yang dipertikaikan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim. Tunku Nadzaruddin sebelum ini diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Besar oleh para Undang berkenaan.
Bagaimanapun Tuanku Muhriz hanya akan menghadiri mesyuarat pra-Majlis pada 13 Oktober, yang tidak dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Baginda juga dijadual menyempurnakan pelantikan Undang Luak Jelebu yang baru pada 14 Okt ini.
Pelantikan Undang Jelebu yang baru itu dijangka mempengaruhi imbangan sokongan dalam Dewan Keadilan dan Undang (DKU), badan yang berperanan dalam hal ehwal adat serta pelantikan dan penyingkiran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
“Ini merupakan satu peristiwa penting kerana ia akan memberikan Tuanku Muhriz majoriti yang jelas dalam DKU Negeri Sembilan,” kata satu sumber rasmi kepada The Straits Times.
/file/attachments/orphans/MediaMBNSasdad_288851.png)
Menurut laporan itu, dengan pelantikan Undang Jelebu yang baru, tiga daripada empat Undang dijangka akan berpihak kepada Tuanku Muhriz.
Akhbar itu turut melaporkan bahawa krisis berkenaan berpunca daripada pendirian Tuanku Muhriz yang lantang menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa, terutama dalam pelantikan badan kehakiman.
Pendirian tersebut dikatakan menyebabkan baginda berdepan tentangan daripada individu berpengaruh dalam kalangan golongan elit Malaysia, lapor akhbar Singapura itu.
“Ini termasuk pemimpin Umno yang menerajui usaha untuk mendapatkan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak,” tambah laporan itu.
Satu sumber yang rapat dengan Istana Negeri Sembilan memberitahu akhbar berkenaan bahawa Tuanku Muhriz mungkin menggunakan pelantikan Undang Jelebu untuk menyatakan pendirian baginda secara terbuka berhubung krisis yang sedang berlaku.
“Baginda mungkin akan menjelaskan pendirian baginda ketika pelantikan Undang Jelebu pada 14 Oktober kerana ketika itu merupakan masa yang sesuai, memandangkan kedudukan baginda telah mendapat pengiktirafan oleh Majlis Raja-Raja,” kata sumber itu.
Negeri Sembilan kini berdepan krisis perlembagaan berkaitan kuasa empat orang Undang untuk menentukan pemerintah negeri.
Krisis ini memuncak pada April apabila satu pengisytiharan dibuat untuk menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta dan menggantikan baginda dengan Tunku Nadzaruddin sebagai Yamtuan yang baru.
Pengisytiharan itu menyebut mengenai beberapa dakwaan pelanggaran adat dan kesalahan pentadbiran yang didakwa dilakukan oleh tuanku Muhriz.
Kesahihan pengisytiharan tersebut serta status Undang yang menyokongnya masih menjadi pertikaian.
DKU menuduh Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar melakukan perbuatan derhaka selepas menghantar surat kepada Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, dan Peguam Negara, Dusuki Mokhtar, pada 30 Sept lalu.
Surat itu antara lain meminta pihak berkuasa supaya tidak mengiktiraf warta dan perintah yang dikeluarkan atas nama Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, para Undang yang kedudukannya dipertikaikan itu menafikan tuduhan berkenaan.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/396603ccc4e38876ca53f2af3464f7cd.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.