Semantan Estate fail saman baharu, tuntut kerajaan jual Enklaf Duta RM13 bilion
Semantan Estate (1952) Sdn Bhd dan pelikuidasinya, Lai Chee Chuen memfailkan saman baharu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini terhadap kerajaan dan enam defendan lain berhubung sebidang tanah di pusat bandar raya Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Enklaf Duta.
Kedua-duanya memohon perintah mahkamah agar kerajaan menjual tanah itu dan menyatakan terperinci hasil jualannya dan sebagai alternatif mereka menuntut pampasan yang sewajarnya berdasarkan prinsip ekuiti.
Saman berkenaan difailkan pada 8 Okt oleh Semantan Estate dan Lai melalui firma guaman Tetuan AG Kalidas Doris & Nada dengan menamakan kerajaan, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal tanah di Wilayah Persekutuan, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Pengarah Tanah dan Galian (Wilayah Persekutuan) serta Pendaftar Hak Milik (Wilayah Persekutuan) sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutan yang diperoleh pihak media, syarikat yang dalam proses penggulungan sukarela itu menganggarkan nilai pasaran semasa tanah itu antara RM12 bilion hingga RM13 bilion serta mendakwa kerajaan terus menduduki, membangunkan dan memperoleh manfaat daripada tanah terbabit walaupun Mahkamah Tinggi pada 2009 memutuskan bahawa pengambilan tanah berkenaan tidak sah dan terbatal sejak awal (void ab initio).
Semantan Estate mendakwa kerajaan mengambil alih tanah berkenaan antara 1956 hingga 1958 di bawah Enakmen Pengambilan Tanah 1923 bagi tujuan membangunkan kawasan “Enklaf Diplomatik”, kemudian membahagikannya kepada 38 lot seluas 230.851 ekar dan mendaftarkan hak milik atas nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan manakala baki seluas 32.421 ekar digunakan bagi pembinaan jalan raya dan infrastruktur.
Pihak plaintif mendakwa tanah itu tidak pernah digunakan bagi tujuan asal yang diwartakan, sebaliknya dibangunkan untuk menempatkan bangunan rasmi, kebudayaan dan komersial selain pembinaan jalan raya, jejambat dan infrastruktur lain.
Plaintif turut memohon pengisytiharan mahkamah bahawa kerajaan memegang tanah itu sebagai pemegang amanah bagi pihak Semantan Estate, selain perintah supaya kerajaan menjual tanah berkenaan dan memperincikan hasil jualan selepas ditolak kos yang dibenarkan.
Sebagai alternatif, mereka menuntut pampasan berasaskan prinsip ekuiti atas dakwaan pelanggaran amanah atau ganti rugi di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan berhubung dakwaan pelucutan hak milik harta syarikat.
Plaintif menuntut pemulangan manfaat yang didakwa diperoleh kerajaan hasil daripada pendudukan dan penggunaan berterusan tanah berkenaan, faedah pada kadar lima peratus setahun ke atas jumlah yang diperintahkan untuk dibayar, kos guaman serta apa-apa relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Semakan terhadap sistem e-filing mahkamah mendapati pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada 3 Nov ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Anand Ponnudurai.
Bagi saman terdahulu, Mahkamah Tinggi menetapkan 16 Okt ini untuk menyambung pendengaran penilaian pampasan susulan tawaran penyelesaian yang dikemukakan kerajaan dalam kes berkenaan.
Pertikaian melibatkan Semantan Estate bermula pada 2003 apabila syarikat terbabit memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan penceroboran berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu dan pada 2009, Mahkamah Tinggi memutuskan memihak kepada Semantan Estate dengan mendapati pengambilan tanah itu tidak sah dan syarikat itu mempunyai kepentingan benefisial terhadap tanah itu.
Kerajaan gagal dalam rayuan yang dikemukakan selepas itu, dan pada Februari 2017, Semantan Estate memfailkan saman bagi menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009.
Perintah Mahkamah Tinggi pada Ogos 2024 yang mengarahkan pemindahan hak milik tanah itu kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan, sekali gus menyebabkan prosiding penilaian pampasan diteruskan.
Pada 13 Nov 2025, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan Estate bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan tanah seluas 263.272 ekar di Enklaf Duta atas nama syarikat berkenaan.
Justeru, keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan kekal berkuat kuasa, kerana syarikat itu tidak boleh meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan dan kes itu kemudian dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran bagi pentaksiran ganti rugi.
Pada 24 Jun 2025, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Semantan Estate tidak berhak ke atas hak milik tanah itu tetapi syarikat berkenaan berhak mendapat pampasan sewajarnya berdasarkan nilai tanah tersebut pada 1956, apabila ia diambil alih oleh kerajaan.
Tanah yang terletak di lokasi utama Jalan Duta itu menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/10/c9dda6926e9f7f13af75a9da4042bfb1.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.