Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 14 Jun 2027 untuk pengurusan kes permohonan semakan kehakiman Badan Peguam bagi mencabar keputusan pihak pendakwaan menghentikan kes rasuah Yayasan Akalbudi melibatkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Hakim S Indra Nehru menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam Abhilaash Subramaniam yang mewakili Badan Peguam, memaklumkan Ahmad Zahid dan Peguam Negara selaku responden memperoleh kebenaran merayu dari Mahkamah Persekutuan pada 8 Okt lepas.

"Justeru, kami memohon tarikh pendengaran semakan kehakiman (di Mahkamah Tinggi), didengar selepas prosiding rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai," katanya semasa pengurusan kes itu.

Mahkamah turut memerintahkan supaya prosiding pengurusan kes (14 Jun 2027) berkenaan dijalankan secara e-review di hadapan timbalan pendaftar (Mahkamah Tinggi).

Abhilaash berkata setakat ini tarikh pendengaran merit rayuan belum ditentukan serta akan mengambil masa beberapa bulan ini termasuk untuk melengkapkan rekod rayuan dan pertukaran hujahan bertulis.

Pada prosiding itu, Peguam Persekutuan Safiyyah Omar yang mewakili Peguam Negara bersetuju dengan cadangan itu, manakala peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Ahmad Zahid turut memaklumkan pihaknya tidak membantah perkara itu.

Pada 8 Okt lepas, panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Hashim Hamzah membenarkan permohonan Ahmad Zahid dan Peguam Negara merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan pendakwaan untuk menghentikan kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Nordin Hassan dan Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan bahawa kes itu menimbulkan isu perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam dan memerlukan penjelasan serta keputusan muktamad oleh Mahkamah Persekutuan.

Pada 7 Mei lepas, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 Sept 2023 yang menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu.

Ahmad Zahid, yang merupakan responden kedua yang dicadangkan dalam prosiding semakan kehakiman itu, kemudian memfailkan permohonan pada 25 Mei lepas untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar pula memfailkan permohonan berasingan untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Badan Peguam memohon deklarasi daripada Mahkamah Tinggi bahawa keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Collin Lawrence Sequerah, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, yang melepaskan dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan Yayasan Akalbudi adalah terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Tinggi membenarkan untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara berhasrat menghentikan prosiding itu terhadap Ahmad Zahid bagi meneliti bukti-bukti baharu.

- Bernama