Kualiti udara merosot: Sekolah di empat negeri ditutup, Pasir Gudang catat IPU tertinggi
Sebanyak 23 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 5.50 petang ini, dengan Pasir Gudang, Johor merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 174.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Johor kekal negeri paling terjejas dengan enam lagi kawasan berada pada paras tidak sihat, iaitu Kota Tinggi (170), Pengerang (166), Larkin (162), Batu Pahat (157), Tangkak (153) dan Kluang (152).
Kemerosotan kualiti udara turut direkodkan di Negeri Sembilan membabitkan Seremban dengan bacaan 166, Nilai (163) dan Port Dickson (153), manakala Melaka merekodkan status sama, iaitu di Bukit Rambai (161), Bandaraya Melaka (155) serta Alor Gajah (153).
Di Pantai Timur, stesen Balok Baru (161) dan Rompin (155) di Pahang, selain Kemaman (155) dan Paka (152) di Terengganu turut merekodkan IPU tidak sihat, manakala di Lembah Klang membabitkan Johan Setia, Selangor (152) dan Putrajaya (155).
Selain itu, tiga kawasan di Sarawak, iaitu IPD Serian 158, Sri Aman (156) dan Samarahan (144) serta di Sabah melibatkan Tawau (151) juga merekodkan tahap tidak sihat.
Sebanyak 41 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala empat kawasan merekodkan bacaan pada tahap baik.
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.
Jerebu menyebabkan semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya ditutup esok.
Penutupan turut melibatkan sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Petaling Perdana, Kuala Langat dan Sepang di Selangor serta sekolah di bawah PPD Kuantan dan Rompin, Pahang.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/seremban1_642711.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.