Bagaimana kematian jurutera Malaysia hantui ketua pesuruhjaya pilihan raya India
Enam stesen metro di New Delhi ditutup hari ini ketika parti-parti pembangkang bersiap sedia untuk berarak ke Mahkamah Agung India berhubung isu semakan senarai pemilih yang dipertikaikan.
Namun, tekanan yang semakin meningkat terhadap Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya, Gyanesh Kumar, melangkaui kontroversi mengenai proses daftar pemilih tersebut.
Di Kerala, kes berusia 20 tahun yang melibatkan kejadian bunuh diri seorang jurutera Malaysia dibangkitkan semula, dengan kerajaan negeri sedang meneliti kemungkinan tindakan undang-undang terhadap pegawai kanan itu atas dakwaan bersubahat.
Menurut laporan The Hindu, kerajaan Kerala sedang mendapatkan nasihat undang-undang sama ada prosiding boleh dimulakan terhadap Gyanesh (gambar atas) berhubung kematian Lee See Ben pada 2006.
Lee merupakan ketua pegawai projek bagi Projek Pengangkutan Negeri Kerala yang dibantu oleh Bank Dunia, yang melibatkan pembinaan semula MC Road. Projek itu dilaksanakan oleh Pati-Bel, sebuah usaha sama antara syarikat Malaysia, Pati, dan syarikat Bhageeratha Constructions yang berpangkalan di Kochi.
Pada masa itu, Gyanesh berkhidmat sebagai setiausaha Jabatan Kerja Raya (JKR), mengheretnya di tengah-tengah dakwaan bahawa Lee telah mengalami gangguan dan kelewatan pembayaran.
Satu nota undang-undang yang dipetik oleh The Hindu menyatakan bahawa Lee dilaporkan membunuh diri akibat tekanan mental yang melampau, yang didakwa berpunca daripada gangguan oleh Gyanesh; nota bunuh diri jurutera itu turut dijadikan sebagai bukti.
Lee dilaporkan pernah menuduh pegawai kerajaan dan JKR mengganggunya serta melambatkan pembayaran berkaitan projek tersebut. Kerajaan negeri pada masa itu kemudiannya mengarahkan siasatan dijalankan terhadap Gyanesh.
Misteri yang belum terungkai
Penilaian undang-undang terkini dilihat membuka semula kemungkinan untuk menuntut pertanggungjawaban dalam kes itu yang sekian lama tidak selesai.
The Hindu melaporkan bahawa Ketua Pengarah Pendakwaan negeri, Asif Ali, telah menasihati kerajaan negeri semasa bahawa tiada halangan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap Gyanesh, memandangkan kesalahan yang didakwa itu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Pendapat undang-undang yang dikaitkan dengan Asif itu menyatakan bahawa penelitian terperinci terhadap kematian Lee menunjukkan gangguan yang didakwa itu sebagai punca langsung kejadian tersebut.
“Penelitian yang teliti terhadap fakta dan keadaan yang membawa kepada tindakan bunuh diri Lee mendedahkan bahawa punca utama kejadian itu tidak lain adalah gangguan yang didakwa dilakukan oleh Gyanesh terhadap mendiang,” menurut nota tersebut.
Nota itu menambah bahawa perbuatan yang didakwa tersebut boleh dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Seksyen 306 Kanun Keseksaan India, yang berkaitan dengan kesalahan bersubahat dalam kes bunuh diri, sekali gus mewajarkan siasatan lanjut.
Nota itu juga berhujah bahawa kedudukan Gyanesh sebagai pegawai kanan tidak seharusnya melindunginya daripada tindakan undang-undang, walaupun setelah sekian lama berlalu, sambil menambah bahawa prosiding tersebut tidak akan terbatal semata-mata disebabkan oleh kelewatan itu.
Pertikaian senarai pemilih cetus protes
Tumpuan semula terhadap Gyanesh ini timbul ketika dia berdepan kritikan hebat berhubung proses pengesahan pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya; proses yang didakwa oleh parti-parti pembangkang boleh memberi kelebihan kepada Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.
Reuters melaporkan bahawa semakan semula yang bermula tahun lalu itu telah menyebabkan lebih 130 juta nama digugurkan daripada daftar pemilih—jumlah yang melebihi keseluruhan populasi Jepun.
Golongan yang terjejas termasuklah pemilih yang telah meninggal dunia, mereka yang telah berpindah tempat tinggal, serta individu yang gagal dikesan oleh pihak berkuasa.
Suruhanjaya Pilihan Raya menafikan dakwaan berpihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya menegaskan bahawa pemilih yang namanya digugurkan secara tidak sengaja boleh mendaftar semula.
Sementara itu, BJP menuduh parti-parti pembangkang cuba menjejaskan demokrasi dengan menimbulkan keraguan terhadap prosedur pilihan raya yang sah.
Pertikaian ini telah melarat ke jalan raya di New Delhi, menyaksikan ribuan penunjuk perasaan ditahan sepanjang hujung minggu.
Antara yang ditahan ialah pemimpin parti Cockroach Janta Party (CJP); penyokong parti itu cuba mengadakan perarakan namun dihalang oleh anggota keselamatan memandangkan kawasan pusat bandar Delhi diletakkan di bawah kawalan ketat.
Kumpulan pembangkang dan penyokong gerakan yang diterajui golongan muda ini telah mengadakan demonstrasi hampir setiap hari sepanjang bulan ini bagi menuntut peletakan jawatan Gyanesh serta mempersoalkan integriti proses semakan semula senarai pemilih tersebut.
CJP, yang diasaskan oleh Abhijeet Dipke, muncul pada 16 Mei sebagai gerakan politik satira tidak berdaftar yang dipimpin oleh golongan muda.
Namanya dikaitkan dengan satu kontroversi pada bulan Mei, apabila Ketua Hakim Surya Kant dilaporkan menyamakan golongan belia menganggur dan pengkritik media sosial tertentu dengan "lipas" dan "parasit" semasa satu perbicaraan di Mahkamah Agung. Hakim tersebut kemudian mendakwa bahawa kenyataannya telah dipetik secara salah.
Di tengah-tengah ketegangan yang berterusan akibat kontroversi daftar pemilih, dakwaan berhubung kematian Lee telah menambah satu lagi dimensi kepada penelitian yang dihadapi oleh ketua pesuruhjaya pilihan raya India—isu yang wujud sebelum dia memegang jawatan sekarang dan kini mungkin kembali ke arena perundangan.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/New-Big-Picture-template-121026-43_524060.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.