Serangan lapangan terbang Riyadh tak patahkan hasrat jemaah umrah ke Tanah Suci
Serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan jemaah umrah, namun tidak mematahkan hasrat mereka untuk meneruskan perjalanan ke Tanah Suci.
Bagi Norhayati Mohd Ali, 45, perkembangan keselamatan di negara itu sememangnya meresahkan, lebih-lebih lagi apabila ahli keluarganya turut bimbang terhadap keselamatannya.
Bagaimanapun, beliau yang berasal dari Shah Alam berkata keinginan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci tetap kuat meskipun menyedari ketidaktentuan situasi keselamatan di Asia Barat ketika ini.
“Memang saya risau apabila mendengar berita mengenai kejadian bom dekat Riyadh. Keluarga pun sekarang sedang risau juga, ada yang telefon kawan di Arab Saudi.
“… tapi saya masih rasa nak pergi sebab ini pengalaman pertama saya menunaikan umrah. Jadi, kami berserahlah. Kalau tidak ada aral, insya-Allah tidak ada masalah,” katanya ketika ditemui Bernama semasa tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di Sepang, hari ini.
Norhayati, yang mengikuti rombongan DSM Signature Travel & Tours berkata beliau hanya mampu berdoa agar perjalanan ibadahnya berjalan lancar dan tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang berada di Arab Saudi.
“Saya doakan agar tidak berlaku perkara buruk seperti yang kami bayangkan atau dengar mengenai kematian. Memang rasa macam terpanggil untuk pergi sebab ini pengalaman saya yang pertama. Jadi, kami berserah dan berdoa sahaja,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Operasi DSM Signature Travel Miftah Mohamed, 35, berkata sebanyak 53 jemaah kendalian agensi itu dijadualkan berlepas ke Madinah hari ini dan penerbangan mereka tetap diteruskan walaupun mengalami kelewatan kira-kira satu jam.
Beliau berkata pada awalnya, pihaknya bimbang selepas mendapati beberapa penerbangan dibatalkan sejak pagi, namun lega apabila jemaah kendalian agensi berkenaan dibenarkan meneruskan urusan daftar masuk.
“Mula-mula kami risau juga sebab sejak pagi tadi kami memantau situasi dan tengah hari tadi nampak ada beberapa penerbangan yang sudah dibatalkan. Namun, untuk penerbangan Saudi Airlines, ia masih lagi diteruskan,” katanya.
Miftah berkata pihak agensi sentiasa berhubung dengan syarikat penerbangan bagi mendapatkan perkembangan terkini, selain bersedia melaksanakan pelan kontingensi sekiranya berlaku pembatalan penerbangan.
Beliau berkata antara langkah yang akan dipertimbangkan adalah penyediaan penginapan sementara serta penyelarasan semula jadual penerbangan bagi memastikan kebajikan jemaah tidak terjejas.
Wakil Operasi Nuh Travel & Tours Sdn Bhd Muhammad Farizz Iqmal Mohd Khairul, 22, berkata sebanyak 22 jemaah bersama seorang mutawif kendalian agensi berkenaan turut dijadualkan berlepas ke Madinah pada 5.35 petang ini, namun penerbangan mereka dimaklumkan mengalami kelewatan antara satu hingga dua jam.
Beliau berkata pihak agensi telah membuat persediaan awal dengan menyediakan kemudahan menunggu serta perlindungan takaful bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang perjalanan.
Sementara itu, tinjauan Bernama di KLIA mendapati situasi di terminal terkawal meskipun beberapa penerbangan ke Arab Saudi mengalami kelewatan manakala terdapat juga penerbangan yang dibatalkan.
Bagaimanapun, urusan daftar masuk bagi penerbangan yang masih dijadualkan berlepas diteruskan seperti biasa, dengan agensi pengendali umrah turut mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kebajikan dan keselamatan jemaah terpelihara.
Tinjauan menerusi paparan papan maklumat penerbangan di KLIA Terminal 1 menunjukkan penerbangan Malaysia Airlines MH0156 ke Jeddah yang dijadualkan berlepas pada 3.05 petang dibatalkan manakala penerbangan MH0158 ke Madinah pada 5.10 petang dan Batik Air OD701 pada 7.25 petang turut memaparkan status sama.
Sementara itu, penerbangan Saudia SV0835 ke Madinah yang dijadualkan berlepas pada 5.35 petang mengalami kelewatan, dengan anggaran waktu berlepas baharu pada 6.40 petang.
Portal berita Anadolu Ajansi melaporkan seorang maut manakala 11 yang lain cedera dalam serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid awal pagi semalam.
Insiden itu berlaku sehari selepas satu lagi serangan di lapangan terbang sama yang mengorbankan 12 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain.
Pakatan diketuai Arab Saudi menyalahkan kumpulan Houthi di Yaman atas serangan itu dan berikrar untuk mengambil tindakan tegas, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/06/a9df8f3695024ee40f185cbef82b76db.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.