'Setiap hari anak kepada ibu warga Malaysia lahir dan tanggung diskriminasi'
Hampir dua tahun selepas diluluskan di Dewan Rakyat, satu pindaan perlembagaan yang antara lain memberikan hak sama rata kepada wanita untuk mewariskan kewarganegaraan masih belum dikuatkuasakan.
Kumpulan Tindakan Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG) menyatakan bahawa walaupun Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail telah mencapai kemajuan ketara dalam memproses permohonan kewarganegaraan, kelewatan menguatkuasakan pindaan tersebut menyebabkan banyak keluarga terumbang-ambing.
"Dengan setiap hari yang berlalu, seorang lagi anak dilahirkan untuk menanggung kesan diskriminasi akibat undang-undang yang belum dikuatkuasakan ini.
"Bagi memastikan wanita Malaysia dan anak-anak mereka tidak lagi berdepan ketidakpastian dan kelewatan yang sama, kelulusan pindaan itu kini mesti disusuli dengan pelaksanaan pindaan tersebut pada masa yang sewajarnya," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan semalam.
Pindaan perlembagaan itu bertujuan membolehkan wanita Malaysia yang tinggal di luar negara dan berkahwin dengan bukan warganegara untuk mewariskan kewarganegaraan Malaysia kepada anak-anak mereka.
Pindaan tersebut diluluskan di Dewan Rakyat pada 17 Oktober 2024 dan diwartakan pada Mac 2025.
Saifuddin pada mulanya menyatakan peraturan baru itu akan berkuat kuasa menjelang 1 Jun, namun setakat 12 September, dia memaklumkan bahawa urusan pentadbiran yang diperlukan bagi melancarkan pindaan tersebut masih dalam peringkat penyelesaian akhir.
Dia berkata tarikh pelaksanaan baru, sebagaimana yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong, hanya akan diumumkan sebaik sahaja urusan pentadbiran tersebut dilaksanakan.
JAG menyatakan bahawa kelewatan ini membawa kesan nyata, seperti yang dialami oleh seorang wanita yang dikenali sebagai "Melissa".
"Melissa" (nama samaran digunakan bagi melindungi identiti), yang dijangka bersalin dalam tempoh beberapa bulan lagi, terpaksa memilih antara menempuh perjalanan yang berisiko tinggi dan membebankan dari segi kewangan pada trimester ketiga kehamilannya untuk bersalin di Malaysia, atau melahirkan anaknya di luar negara dan bergantung pada proses permohonan kewarganegaraan yang panjang dan rumit di bawah Perkara 15(2).
"Dia menetap di negara ketiga, dan suaminya yang bukan warganegara juga tidak dapat mewariskan kewarganegaraannya kepada anak mereka.
"Tanpa akses kepada kewarganegaraan, kanak-kanak itu tidak dapat memperoleh visa yang diperlukan untuk kekal di negara asing, sekali gus meletakkan keluarga tersebut dalam situasi yang sangat tidak menentu," kata JAG.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat Saifuddin untuk mendapatkan ulasan.
Lapor komen ini
/file/1194/50a709e0743c4c4110c519c91d63dd4d.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.