Kahwini Melayu Malaysia tak jadikan warga asing bumiputera – Saifuddin
PARLIMEN | Perkahwinan seseorang warga asing berargama Islam dengan orang Melayu Islam di negara ini tidak akan mengubah status keturunan asal mereka, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurutnya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak membuat penentuan keturunan seseorang warga asing berdasarkan perkahwinan tersebut.
“Di samping itu, penentuan sama ada seseorang individu itu berstatus bumiputera (atau tidak) serta kelayakan untuk menikmati sesuatu hak atau keistimewaan yang diperuntukkan kepada bumiputera adalah di luar bidang kuasa JPN.
“Hal ini kerana perkara tersebut tertakluk kepada undang-undang, dasar dan syarat yang ditetapkan oleh agensi atau pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Saifuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin mengetahui jika warga asing beragama Islam akan dianggap berstatus bumiputera sekiranya mereka berkahwin dengan orang Melayu yang menjadi rakyat negara ini.
Pang turut bertanya sama ada mereka layak atau tidak untuk menikmati hak atau keistimewaan yang diberikan kepada bumiputera, serta syarat yang perlu dipenuhi untuk mendapat kelayakan tersebut.
Bagaimanapun, Saifuddin menjelaskan bahawa anak yang lahir hasil perkahwinan sah dalam situasi itu boleh didaftarkan mengikut keturunan ibu atau bapa.
“Sama ada berketurunan Melayu atau mengikut keturunan warganegara asing berkenaan,” katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/SaifuddinNasutionIsmail2_579658.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.