PARLIMEN | Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan proses pendaftaran dalam talian untuk pelarian oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai "punca utama" di sebalik kesukaran Malaysia menguruskan pelarian yang sudah berada di dalam negara.

Semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin berkata individu boleh memohon status pelarian dari luar negara dan memasuki Malaysia sebelum agensi pelarian PBB itu membuat keputusan mengenai permohonan mereka.

"Sekarang ini, pelarian daripada negara kita kerana ada UNHCR ini, dia membuka permohonan untuk menjadi pelarian, pendaftaran secara atas talian.

"Dia mungkin berada di Yemen, dia mungkin berada di Syria, dia mungkin berada di Afghanistan atau mana-mana negaralah yang ada push factor.

"Tak kiralah pelarian apa pun, dia mohon. Belum pun UNHCR di Kuala Lumpur beri keputusan terhadap permohonan, dia datang dulu sebagai pelancong, pas sosial.

"Kemudian tiap-tiap minggu dia akan berkumpul depan pejabat UNHCR di Jalan Bellamy untuk tanya apa status permohonan. Itulah realitinya. Kita ini bercakap tentang hiliran. Yang huluan itu adalah menjadi punca masalah,” kata Saifuddin.

Saifuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang bertanya sama ada Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) kerajaan boleh menjadi "pull factor" (faktor penarik).

Dia menambah bahawa dia dan Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan telah menyuarakan kebimbangan mereka melalui kabinet dan Majlis Keselamatan Negara.

Sementara itu, Jimmy Puah (Pakatan Harapan-Tebrau) menyuarakan kebimbangan mengenai video tular yang memaparkan individu berkonfrontasi dengan etnik Rohingya, menuntut untuk melihat kad UNHCR mereka dan bertindak seolah-olah mereka mempunyai kuasa penguatkuasaan.

Insiden ini berlaku di tengah-tengah peningkatan sentimen anti-Rohingya di media sosial Malaysia, termasuk video yang menunjukkan individu bertindak sendiri menahan dan menyoal siasat anggota komuniti tersebut di tempat awam.

Saifuddin menggesa rakyat Malaysia supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan sendiri.

"Saya fikir kerjasama yang rakyat Malaysia boleh buat adalah jika mereka mendapati tingkah laku atau perbuatan dalam kalangan mereka yang dikatakan pelarian ini tak disenangi oleh penduduk setempat, komuniti setempat dan sebagainya, mereka sampaikan kepada pihak berkuasa.

"Sebab pihak berkuasa dari sudut undang-undang adalah pasukan polis dan pihak berkuasa yang lain. Jalan yang paling baik bagi mengekalkan tertib dalam sebuah negara adalah serahkan kepada pihak yang berautoriti untuk menjalankannya.

"Maknanya, elak daripada mengambil tindakan bersendirian," katanya.

Walaupun mengakui wujudnya kegelisahan orang ramai mengenai kehadiran pelarian, dia menegaskan bahawa sebarang tindakan mestilah mematuhi undang-undang.

Saifuddin turut mengulas dakwaan di media sosial bahawa sesetengah pelarian telah melakukan perjalanan dari kem di luar negara menggunakan pasport sebelum memasuki Malaysia dan kemudiannya mendapatkan dokumen UNHCR.

"Saya anggap itu kekal sebagai dakwaan. Sebab kalau ia pelarian dan dia dikatakan masuk menggunakan pasport, kemudian dengan pasport itu dia mohon status pelarian, yang itu tak melibatkan autoriti kita langsung.

"UNHCR punya tapisan. Oleh itu, reaksi saya adalah kalau adanya dakwaan seperti itu, menjadi tanggungjawab, kewajipan mereka untuk mendekati kita, pihak autoriti, untuk menjalankan kewajipan dan tanggungjawab sesuai dengan undang-undang dalam negara kita," katanya.

Terdahulu, Radzi bertanya sama ada Malaysia wajar menghidupkan semula pendekatan yang serupa dengan langkah menangani pelarian Vietnam beberapa dekad lalu, iaitu dengan menempatkan pelarian di kem-kem khusus.

Sebagai respons, Saifuddin menyatakan bahawa isu pelarian Vietnam diselesaikan dengan cara berbeza kerana Malaysia akhirnya menetapkan penghantaran pulang sebagai syarat untuk menyokong kemasukan Vietnam ke dalam Asean.

“Vietnam bersetuju. Jadi, perkara itu dapat diselesaikan,” katanya.

Bagaimanapun, dia menyatakan bahawa Malaysia kini berdepan dengan situasi yang lebih rumit yang melibatkan pelarian dari pelbagai negara.