Isu 47 kes Zahid: Umno bingkas sanggah Rayer, bela presiden
Umno berpendapat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bukanlah seorang pendakwa raya dan dia tidak mempunyai kuasa untuk memastikan seseorang itu boleh didakwa semula di mahkamah.
Ketua Penerangan Umno Malaysia, Azalina Othman Said, berkata Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan sebaliknya memperuntukkan kuasa mendakwa seseorang kepada Peguam Negara (AG) dan ia boleh dijalankan menurut budi bicaranya.
Kata Azalina, persoalan asas yang perlu diberikan perhatian ialah kedudukan kuasa pendakwaan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan keperluan untuk mengelakkan campur tangan politik dalam keputusan berkaitan kes individu.
Tambah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu lagi menurut perlembagaan, seseorang AG berhak memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding bagi sesuatu kesalahan, tertakluk kepada kerangka perlembagaan dan undang-undang berkaitan.
“Prinsip kebebasan pendakwaan mesti dihormati dalam amalan politik, bukan sekadar dalam cadangan perubahan institusi.
"Dakwaan pilih kasih perlu dinilai berdasarkan bukti. Mana-mana pihak berhak mempersoalkan keputusan pendakwaan dan menuntut penjelasan yang munasabah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata demikian sebagai menjawab kritikan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer terhadap Anwar kerana didakwa gagal mendakwa Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi..
Semalam, Rayer membidas kerajaan kerana dilihat “memilih bulu” dalam pendakwaan sambil mempersoalkan mengapa Ahmad Zahid belum dituduh semula berhubung kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.
Perlu disokong fakta jelas
Semasa berbahas di Dewan Rakyat, Rayer berkata, kerajaan tidak sepatutnya memberikan pelepasan kepada sesiapa sahaja yang didapati terkait dengan kes rasuah, tanpa mengira sama ada mereka adalah rakan sekutu atau pesaing politik.
Dia berkata perkara berkenaan amat penting memandangkan kerajaan berikrar untuk membanteras rasuah.
“Siapa-siapa sahaja yang melakukan sesuatu kesalahan perlu dibawa ke mahkamah, diheret ke mahkamah dan dituduh dan di sini, tak kiralah sama ada beliau merupakan seorang timbalan perdana menteri ataupun ahli parlimen ataupun menteri.
“Persoalan di luar sana ialah, kenapa pertuduhan terhadap YB Bagan Datuk (Ahmad Zahid) ditarik balik? Kenapa tidak kes beliau dituduh semula? Apabila ada di kalangan di sebelah sini (pembangkang) diheret ke mahkamah sekarang?
“Kenapa kita pilih kasih, kenapa kita pilih bulu? Kenapa kita tidak mengambil tindakan terhadap YB Bagan Datuk yang terlibat dalam 47 kes rasuah?” soalnya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Belanjawan 2027.
Ahmad Zahid sebelum ini berdepan 47 pertuduhan melibatkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan uang haram berkaitan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi. Dia diperintahkan membela diri pada Januari 2022 selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Bagaimanapun, pada 4 Sept 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid, membolehkan kes itu dihentikan tanpa membebaskan ahli politik terbabit secara kekal.
Ketua pasukan pendakwaaan ketika itu, Dusuki Mokhtar – kini merupakan AG –mengemukakan 11 alasan untuk memohon DNAA tersebut, termasuk keperluan untuk siasatan yang lebih komprehensif dan lengkap.
Mengulas lanjut, Azalina berkata mana-mana pihak tidak sepatutnya mendesak perdana menteri memastikan pertuduhan dikenakan semula terhadap individu tertentu kerana tidak bersetuju dengannya.
Tambah Azalina, dalam kes itu Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memberikan penjelasan mengenai alasan permohonan DNAA dan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA).
"Kritikan terhadap sesuatu keputusan perlu disokong oleh fakta dan asas yang jelas, bukannya andaian atau tekanan politik semata-mata," ujarnya lagi.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/azalina13s_894436.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.