Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kota Bharu hari ini atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar dan mencederakan seorang lagi dalam kejadian di sebuah sekolah pada April lepas.

Pengakuan Sakinah Ismail, 57, dibuat selepas dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Wan Mohd I'zzat Wan Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa melakukan perbuatan cuai yang menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan tingkatan satu di kawasan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di Kota Bharu pada 1.40 tengah hari 12 April.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Guru wanita berdepan pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar dan mencederakan seorang lagi


Bagi pertuduhan kedua, Sakinah didakwa melakukan perbuatan cuai dengan melanggar seorang lagi pelajar perempuan tingkatan satu dengan menggunakan kereta Honda HR-V sehingga membahayakan nyawa mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 336 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda hingga RM500 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah manakala Sakinah diwakili peguam Muhammad Hasif Hasan dan Wan Fadhil Fayyadh Wan Mohd Zuhairi.

Muhammad Nadzir memohon jaminan RM3,000 bagi dua pertuduhan namun Muhammad Hasif memohon agar jaminan minimum dikenakan dengan alasan anak guamnya tidak pernah terlibat dalam sebarang kesalahan sebelum ini.

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan dan menetapkan 6 Dis untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.

Pada 12 April, seorang pelajar maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh kereta dipandu guru di hadapan surau SMK Tanjong Mas.

Pemandu wanita itu dipercayai tertekan pedal minyak sebelum kenderaan terbabas lalu merempuh dua pelajar tersebut.

- Bernama