Pihak berkuasa melanjutkan penutupan lapangan terbang antarabangsa Riyadh sehingga Sabtu dan syarikat penerbangan membatalkan penerbangan selepas serangan berterusan oleh kumpulan Houthi di Yemen yang bersekutu dengan Iran mengosongkan ruang udara ibu negara Arab Saudi itu.

Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, lapangan terbang kedua paling sibuk di Arab Saudi selepas Jeddah, digantung bagi "membolehkan penyelesaian prosedur untuk memastikan keselamatan dan kesediaan operasi kemudahan lapangan terbang", kata pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi dalam satu kenyataan.

Pada lewat Isnin, Houthi berkata mereka menyerang lapangan terbang itu dengan peluru berpandu balistik, tidak lama selepas Arab Saudi memberitahu ia memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh kumpulan itu ke arah Riyadh.

Lapangan terbang Riyadh akan ditutup sehingga 17 Oktober susulan serangan Houthi


Houthi turut menyatakan dalam kenyataan bahawa mereka mensasarkan sebuah pangkalan udara di Khamis Mushait di barat daya kerajaan itu dengan dron. Tiada pengesahan segera daripada pihak Arab Saudi.

Reuters melaporkan notis kepada juruterbang yang dikeluarkan pada Isnin menunjukkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid akan kekal ditutup sehingga 2100 GMT pada 17 Okt.

Lapangan terbang itu ditutup sejak serangan pada Sabtu yang mengorbankan 13 orang dan melncederakan lebih 300 yang lain. Ia insiden paling meragut nyawa dalam tempoh lebih satu dekad. Ahad lalu, satu lagi serangan membunuh seorang individu dan mencederakan belasan yang lain.

Serangan itu menandakan antara gangguan paling ketara kepada penerbangan Arab Saudi dalam tempoh bertahun-tahun, menambah tekanan kepada industri yang sedia bergelut dengan konflik di seluruh Asia Barat serta harga bahan api jet yang lebih tinggi yang mengikis keuntungan.

Insiden itu turut menimbulkan kebimbangan mengenai penerbangan awam yang menjadi sasaran dalam konflik bersenjata.

"Tingkat serangan sengit berterusan terhadap penerbangan awam ini tidak pernah berlaku sebelum ini," kata Mark Zee, pengasas OPSGROUP, sebuah organisasi berasaskan keahlian yang menyediakan nasihat keselamatan penerbangan.

"Saya fikir ini menuntut kita menilai semula cara kita melihat gambaran risiko semasa, dan bertindak dengan sangat berhati-hati," katanya.

Penjejak trafik udara Flightradar24 menunjukkan pesawat mengelak bandar itu pada Isnin, walaupun jet melepasi ruang udara Arab Saudi dan mendarat di hab utama Jeddah di pantai barat negara itu.

Pembatalan di semua lapangan terbang Arab Saudi mencecah 46.4 peratus, kata firma analitik penerbangan Cirium.