PN gagal tangguh tindakan penggantungan aktiviti oleh ROS
Perikatan Nasional (PN) gagal mendapatkan penangguhan sementara terhadap tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menggantung semua kegiatan gabungan itu, namun ia dibenarkan meneruskan cabaran melalui semakan kehakiman.
Keputusan itu menyaksikan notis penggantungan bertarikh 22 Sep lalu kekal berkuat kuasa buat masa ini, sementara permohonan PN untuk mencabar tindakan ROS diteruskan di mahkamah.
Berita Harian melaporkan Hakim Mahkamah Tinggi, Azizan Md Arshad menetapkan 22 Okt ini bagi pendengaran permohonan penangguhan secara inter partes, iaitu dengan kehadiran dan hujahan kedua-dua pihak.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendengar hujahan peguam Ivanpal Singh Grewal yang mewakili PN selaku pemohon, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Nurhaffiza Azizan, mewakili pihak responden.
PN memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 5 Okt lalu menerusi Tetuan Siddiq Azani & Co bagi mencabar keputusan RoS menggantung semua kegiatan gabungan berkenaan.
Antara pemohon yang dinamakan ialah Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, bersama setiausaha agung parti komponen gabungan itu, termasuk Wong Chia Zhen daripada Gerakan dan Satish Kumar daripada Parti Indian Rakyat Malaysia (MIPP).
Turut dinamakan ialah Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Saifuddin Abdullah, serta Setiausaha Agung Pejuang, Sazmi Miah.
Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Mohd Zulfikar Ahmad, dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, pula dinamakan sebagai responden dalam permohonan berkenaan.
Pada 24 Sep lalu, Takiyuddin mengesahkan pihaknya telah menerima notis tunjuk sebab dalam tempoh 30 hari bagi tujuan pembatalan pendaftaran gabungan itu daripada ROS.
Menyifatkan tindakan itu sebagai "natijah daripada agenda berniat jahat", Takiyuddin berkata pihaknya akan mengambil langkah segera melalui proses undang-undang untuk menyelamatkan gabungan itu.
"PN mengambil maklum keputusan ROS, namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut dan sedang mengambil langkah-langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia demi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangannya yang didukung oleh ahli-ahli dan penyokongnya.
"PN tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap PN adalah natijah agenda berniat jahat (mala fide) dan tekanan politik yang memangsakan PN daripada pihak-pihak dari dalam dan luar PN," katanya dalam kenyaataan.
Sementara itu, dalam dokumen yang dikemukakan bagi menyokong permohonan pendengaran segera, pasukan peguam PN memberi amaran mengenai kesan penggantungan itu terhadap persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut hujahan berkenaan, sekiranya notis itu tidak digantung atau dibatalkan sebelum proses penamaan calon PRN Melaka, calon PN berdepan halangan untuk bertanding menggunakan nama dan lambang gabungan tersebut.
Keadaan itu juga, menurut dokumen berkenaan, boleh menjejaskan keupayaan gabungan itu menjalankan kempen pilihan raya atas nama PN.
Bagaimanapun, dengan permohonan penangguhan sementara ditolak, PN perlu menunggu pendengaran inter partes pada 22 Okt ini untuk mengetahui sama ada mahkamah akan memberikan perintah yang diminta.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/d0968346154e2d67790b2b354f703ec9.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.